Tubuh Majlis Tindakan Pendidikan tangani isu keciciran - Maszlee

Shah Alam. Kerajaan disaran mewujudkan satu pelan induk pendidikan khusus untuk merangka perancangan pendidikan negara bersesuaian cabaran pasca COVID-19.

Cadangan itu disuarakan pembahas Johor, Dr Maslee Malik, yang turut menggesa Majlis Tindakan Pendidikan (MTP) ditubuhkan untuk menyelia isu berkaitan pendidikan termasuk merangka pelan induk terbabit.

Beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, pelan induk itu bukan sekadar meliputi perancangan untuk tahap pendidikan di sekolah, malah turut membabitkan sektor pengajian tinggi serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

"Ini (mewujudkan pelan induk pendidikan) hanya boleh dilakukan dengan adanya MTP untuk merangka pelan pendidikan pasca COVID-19 selaras titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembukaan sidang Parlimen tahun lalu.

"Ketika itu baginda menyentuh secara terus mengenai pendidikan dan menitahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya bersikap inklusif mengatasi idelogoi dan kepakaran dalam memajukan sektor pendidikan.

“Sehingga kini, tidak dilihat usaha ke arah merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong itu dan Malaysia juga tiada pelan jangka panjang untuk sektor pendidikan," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PKR sempena Kongres Nasional PKR ke-16 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Maslee menegaskan pendidikan adalah elemen penting dalam pembangunan negara dan ia bukan berkisar kepada ilmu semata-mata, tetapi juga tindakan dan kesan manfaat ilmu itu sendiri.

"Saya tertarik ucapan Presiden (Anwar) mengenai impak COVID-19 terhadap politik dan ekonomi, namun kita juga tak boleh lupa impak terhadap pendidikan yang terhenyak teruk akibat pandemik," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui dua isu utama menjadi kebimbangan akibat kesan jangka panjang iaitu keciciran pembelajaran dan golongan tercicir.

"Kita tak boleh berdiam dalam mendepani isu ini. Jika isu ekonomi impak hanya setahun dua, namun isu pendidikan, keciciran dan ketinggalan kesannya menjangkau 20 hingga 40 tahun dan ini yang perlu kita risau.

"Justeru, menjadi tanggungjawab parti untuk memperjuangkan usaha menangani kemiskinan yang menghalang pendidikan ini," katanya.


Previous Post Next Post