Imej hiasan Bernama |
SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menganggarkan lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun sejak kebelakangan ini.
Dalam sektor awam, bersara awal merujuk kepada seseorang anggota berpencen mencapai umur 40 tahun yang berbuat demikian sebelum umur persaraan wajib 60 tahun.
Walaupun angka itu dilaporkan masih diperdebatkan, namun persaraan awal dalam kalangan guru amat merugikan kerana mereka adalah tonggak kepada pembangunan modal insan negara.
Trend persaraan awal juga mungkin berlaku dalam kalangan penjawat awam dalam sektor lain. Justeru, satu tinjauan mungkin perlu dilakukan untuk mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai situasi sebenar.
Penting untuk kita berfikiran secara matang ketika mengkaji fenomena persaraan awal ini. Kita tidak seharusnya menekan butang panik apabila membaca laporan trend persaraan awal dan membuat kesimpulan pramatang yang tidak disokong oleh data secukupnya.
Pihak-pihak berkepentingan perlu membuat satu analisis komprehensif mencakupi sektor dan jabatan terlibat, lokasi, kategori dan jenis pekerjaan, jumlah permohonan, jantina dan umur pemohon dan sebab bersara awal.
Ia turut melibatkan pendapatan isi rumah, status perkahwinan, latar belakang keluarga, perancangan masa hadapan dan sebagainya.
Persaraan awal disebabkan tekanan kerja perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental pekerja yang boleh membawa kemudaratan kepada mereka dalam jangka masa panjang.
Dalam isu seperti ini, kursus berkaitan perlu diberikan agar mereka mampu berhadapan dengan tekanan akibat bebanan kerja dan harapan masyarakat.
Dari satu lagi sudut, lebih ramai pekerja bersara awal maka lebih banyak pengisian jawatan perlu dilakukan. Ini bermakna lebih ramai pesara berpencen secara pilihan dan wajib boleh dijangkakan pada masa hadapan terutama dengan peningkatan jangka hayat dan penduduk lebih tua di negara ini menjelang 2030.
Berdasarkan unjuran penduduk 2010- 2040, Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada 2030 dengan penduduk berumur 60 tahun ke atas mencecah 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
Ini sudah tentu memerlukan lebih banyak peruntukan dibuat untuk pembayaran pencen pada masa hadapan, justeru menambahkan lagi beban kewangan kerajaan.
Kerajaan menjangkakan bayaran pencen akan mencecah RM46.6 bilion pada 2030 berbanding sekitar RM28 bilion pada 2019.
Bagi mengurangkan beban kewangan ini, kerajaan perlu melakukan usaha berterusan bagi mengekalkan penjawat awam dalam perkhidmatan untuk jangka masa panjang kecuali terpaksa bersara awal atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan seperti masalah kesihatan kronik.
Langkah-langkah seperti menyemak semula skim perkhidmatan dan perjawatan sedia ada termasuk skim gaji dan elaun boleh dilakukan agar ia menjadi lebih menarik dan kompetitif.
Majikan juga perlu membuat penambahbaikan ke atas perkara-perkara seperti skop dan beban kerja serta persekitaran pejabat agar pekerja dapat bekerja dalam suasana lebih kondusif dan tidak menekan mereka.
PROFESOR MADYA DR. SUBRAMANIAM SRI RAMALU, Universiti Utara Malaysia (UUM)