Sekolah Amanah terbukti bertaraf dunia


CITA-CITA memburu satu sistem persekolahan bertaraf dunia telah lama menjadi idaman ramai. Sebelum itu sering kedengaran betapa sistem persekolahan kita tercicir berbanding negaranegara lain khususnya yang maju. 

Maka pada awal 2011, bermula satu usaha secara sistematik melonjakkan kedudukan persekolahan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysisa (PPPM) 2013-2025. Sementara itu, PPPM 2015-2025 terbentuk untuk pengajian tinggi. Pendek kata, transformasi peringkat tinggi turut dirangkakan. 

Kini tinggal beberapa tahun sahaja lagi bagi kedua-dua PPPM diselesaikan. Di manakah kita kini? Terasa debaran menanti. Apa pun, seawal 2010 satu lagi projek sambungan dirancang secara berasingan. Ia merupakan inisiatif swasta di bawah kelolaan Khazanah Nasional melalui program Sekolah Amanah untuk membawa transformasi pada ekosistem pendidikan peringkat rendah menengah. 

Walaupun usaha ini tergolong juga dalam PPPM 2013-2025, namun ia bukan searus perdana sifatnya. Ia lebih berbentuk usahawan sosial melibatkan sebilangan sekolah terhad atas beberapa garis panduan tertentu. 

Ia pula dikendalikan oleh segolongan pakar pendidikan dan pelatih berpengalaman dalam mengenakan transformasi berkenaan tidak kira di peringkat individu, kelas, sekolah mahupun masyarakat termasuk keluarga para pelajar sekalipun. 

Yang dipentingkan adalah pendidikan menyeluruh dan bersepadu. Bukan sangat peperiksaan, meskipun ia dianggap penting tetapi bukan mutlak atau taksub. Yang mutlak adalah pembelajaran melalui pelbagai cara berpusatkan pelajar, bukan guru sematamata. 

Tambahan pula ia berteras kerjasama, bukan persaingan gila-gila. Sering para diberi ruang berfikir dan membuat keputusan sendiri secara berkelompok. 

Ini memberi keyakinan untuk berikhtiar sebagai satu cara pembelajaran yang lebih terbuka lagi berani. Termasuk berani mencabar dan membuat silap. Kesilapan merupakan likuliku pembelajaran melalui pengalaman yang sering diabaikan atau ditakuti, tapi tidak di Sekolah Amanah. 

Kesudahannya sekolah tersebut serta ekosistem banyak membawa perubahan besar secara lebih semula jadi dan spontan. Tanpa paksaan atau ugutan itu dan ini. 

Hatta, keyakinan terkesan dengan begitu nyata, hasil pendidikan yang terbuka lagi matang. Ringkasnya, sasaran strategi utama berfokuskan empat ciri utama. 

Pertama, pembangunan kepemimpinan berkualiti tinggi. Kedua, penambahan baik kualiti pengajaran dan pembelajaran. Ketiga, memaksimumkan potensi dan pencapaian pelajar dan keempat, memperkukuhkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan lain. 

PEDAGOGI 

Tidak kurang dititikberatkan adalah peningkatan dan anjakan paradigma dalam tahap pengetahuan, kemahiran, pemikiran, pedagogi dan laporan amalan secara positif. 

Sebab itu jugalah Sekolah Amanah dianggap sebagai percubaan pada mulanya dan dihadkan kepada 10 buah sahaja. Hanya kemudian beransur-ansur ditambah sehingga sejak dilancarkan pada 2011, ia dilaporkan memberi kesan positif kepada lebih 5,300 ibu bapa dan 65,000 pelajar di 83 sekolah meliputi 12 negeri termasuk Sabah serta Sarawak. 

Sementara itu, beberapa model lagi diuji untuk disesuaikan dengan prasarana tertentu dengan mendapatkan kesan yang sama di hampir pelusuk negara. Setiap kali lebih banyak pengalaman baharu diperoleh dan dilaburkan semula untuk pembangunan pendidikan semasa ala abad ke-21. Maka selepas sekian lama meneroka transformasi, tibalah masanya dunia mengagumi prestasi Sekolah Amanah yang tidak penat-penat memperagakan model pendidikannya secara positif. 

Tidak hairan baru-baru ini, dua Sekolah Amanah tersenarai antara 10 terbaik di dunia bagi Hadiah Sekolah Terbaik Dunia. Ia adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang dalam kategori Inovasi manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Jawa di Klang, Selangor dalam kategori Mengatasi Rintangan. 

SK Kempadang menampilkan inovasi dalam mencipta suatu sistem automasi mengesan kedudukan pelajar apabila pengajaran bersemuka terhenti semasa pandemik Covid-19. 

SMK Kampung Jawa pula berupaya bangkit dari senarai terbawah sekolah di Klang berdasarkan keputusan akademik setelah melibatkan ibu bapa dan pelajar. Hasilnya, lebih banyak diketahui tentang masalah dihadapi para pelajar sehinggakan boleh membawa kepada perubahan ke atas pendekatan pengajaran. 

Semua ini memperlihatkan contoh bagaimana transformasi berkesan dapat mengubah ekosistem pendidikan Sekolah Amanah sekali gus mendalami pengertian pendidikan untuk mencorakkan hari muka.

Oleh itu, tidak syak lagi, ini merupakan bukti nyata betapa perubahan besar-besaran dalam sektor pendidikan boleh berlaku di negara kita sekiranya sikap tepat mempeduli dan beriltizam tinggi diamalkan sepertimana ditunjukkan oleh dua Sekolah Amanah berkenaan. 
Malah berpuluh lain selama ini tetapi terus dipandang sepi. Umumnya sekolah seumpama ini tidak mendapat tempat pada kaca mata masyarakat yang juga turut sangsi akan keupayaannya membuat perubahan paradigma. 

Di sini terkesannya rasa terkilan yang Sekolah Amanah tidak begitu mendapat 'restu' sewajarnya daripada pihak berwajib walaupun bukti demi bukti dikemukakan betapa model Sekolah Amanah berkesan termasuk di ceruk pedalaman. 

Apatah lagi dengan cabaran pandemik, kita tidak banyak pilihan dalam meletakkan pendidikan sebagai agen transformasi mutlak untuk memperbetulkan keadaan yang ada. 

Jelas sistem persekolahan Sekolah Amanah satu-satu pilihan yang tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak. 

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifl Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Previous Post Next Post