SHAH ALAM: Kos kehidupan yang semakin menghimpit menyebabkan seorang anak tekad bekerja sambilan di kedai makan walaupun masih bersekolah.
Mohammad Nizam Nasri, 16, berbuat demikian kerana mahu membantu meringankan beban ditanggung ibunya, Sarinah Selamat, 47.
Walaupun ibunya melarang. bahkan dia masih di bawah umur, namun Mohammad Nizam merasakan hanya dengan cara itu dapat membantu keluarga.
Malah, remaja itu juga lebih kerapbekerja bagi menampung perbelanjaannya dan membantu keluarga sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar.
Lebih menyedihkan, Mohammad Nizam kerap ponteng sekolah kerana kepenatan selepas bekerja di sebuah kedai makan di kawasan kampung itu pada sebelah malam.
Sarinah ketika ditemui mengakui kehidupan mereka agak sukar selepas dia dan bekas suaminya berpisah pada tahun 2019 dan kini menjaga enam anak termasuk tiga yang masih bersekolah.
Bagaimanapun, katanya, mereka masih mampu untuk menanggung persekolahan anak berumur 16, 11 dan 9 tahun itu walaupun perbelanjaan diberikannya tidak sebanyak orang lain.
"Bekas suami masih menanggung dua anak yang bersekolah rendah. Mereka diberi belanja RM20 seminggu. Cukuplah walaupun sedikit dan setiap orang dapat RM2 sehari untuk belanja sekolah.
"Bagi anak di sekolah menengah, kakak saya ada bantu sikit. Tetapi anak sendiri mengambil keputusan bererja sambilan walaupun saya larang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya
Kisah Mohammad Nizam itu pernah tular di WhatsApp apabila menghantar pesanan kepada gurunya memaklumkan tidak hadir ke sekolah kerana bekerja untuk membantu keluarga.
Menerusi tangkap layar WhatsApp berkenaan, Mohammad Nizam memaklumkan tidak mempunyai duit untuk ke sekolah dan terpaksa bekerja di kedai makan.
Perkara itu sudah berada dalam pengetahuan pihak sekolah, malah wakil pihak sekolah telah mengadakan kunjungan ke rumah keluarga terbabit.
Sementara itu, Sarinah berkata, anak lelakinya itu masih keluar bekerja walaupun selepas guru dari sekolahnya datang ke rumah beberapa hari lalu.
"Cikgu yang datang hari itu juga bantu beri wang belanja.
"Saya tak pernah tanya pasal berapa upah dia dapat. Bila saya tanya kenapa masih tidak ke sekolah, dia jawab bukan tak mahu ke sekolah tapi penat bekerja," kata suri rumah sepenuh masa itu.