Psikologi pelajar terjejas, LPM digesa semak keputusan 15 pelajar SPM

Sumber yang mewakili ibu bapa pelajar berkata, kebanyakan ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati selepas dua kali rayuan mereka ditolak kerana merasakan berlaku ketidakadilan apabila mendapati terdapat juga kecuaian di pihak ketua pengawas peperiksaan itu sendiri. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Lembaga Peperiksaan (LPM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) digesa untuk menilai semula kes membabitkan pembatalan keputusan subjek Sejarah membabitkan 15 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021. 

Menurut sumber yang mewakili ibu bapa dan 15 pelajar yang terlibat berkata, kes tersebut perlu disemak semula dan diadili mengikut kes setiap seorang pelajar bukan secara umum, selain keterangan pihak ketua dan pengawas peperiksaan juga perlu diambil. 

“Kita masih mengharapkan pertimbangan daripada pihak LPM atau KPM sendiri supaya kes ini dapat diadili semula, maknanya kes dibuka semula diadili mengikut kes bukan secara umum,” katanya ketika dihubungi FMT. 

Pelajar tak sengaja bawa telefon 

Sumber itu berkata, berdasarkan penerangan yang dibuat bersama pihak ibu bapa dan pelajar menunjukkan 15 pelajar yang terlibat mengakui mereka tidak sedar terbawa telefon ke dalam dewan peperiksaan. 

Katanya, perkara itu bermula apabila ada pelajar meletakkan telefon di atas meja dengan niat untuk waktu kerana tidak memakai jam tangan, namun ia disedari salah seorang pengawas peperiksaan. 

“Ia berlaku satu jam sebelum tamat peperiksaan, pengawas terus ambil (telefon bimbit) dan selepas itu pengumuman dibuat, siapa lagi yang bawa telefon minta diserahkan dan tiada tindakan yang diambil, jadi pelajar-pelajar yang lain ini pun pergi serahkan. 

“Salah seorang pelajar memang tak sedar yang dia terbawa telefon masuk, selepas peperiksaan ada yang telefon ibu bapa menangis tak sangka jadi macam ini,” katanya sambil berkata lapan daripada 15 pelajar itu mendapat A semua subjek kecuali Sejarah. 

Siasat ketua pengawas tak ikut SOP 

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, kebanyakan ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati selepas dua kali rayuan mereka ditolak kerana merasakan berlaku ketidakadilan apabila mendapati terdapat juga kecuaian di pihak ketua pengawas peperiksaan itu sendiri. 

Katanya, rayuan kedua disertakan juga petisyen mendesak pihak LPM menyiasat ketua pengawas peperiksaan tersebut kerana dipercayai melanggar SOP dengan tidak membuat pengumuman mengingatkan pelajar tidak membawa bahan terlarang ke dalam dewan. 

“Kita ada lampir petisyen tandatangan 73 murid lain tak termasuk 15 pelajar yang terlibat, makna 73 dalam dewan ketika peperiksaan Sejarah tandatangan petisyen bahawa memperakui bahawa tiada pengumuman dibuat oleh pengawas dan ketua pengawas,” katanya. 

Tambahnya, kejadian yang berlaku nyata menjejaskan psikologi beberapa pelajar yang terlibat apabila mereka juga ada menerima pelbagai kecaman masyarakat susulan tularnya isu tersebut. 

Sehubungan itu katanya, perkara sebegini seharusnya diselesaikan terlebih dahulu melalui perbincangan dan budi bicara kerana ia melibatkan masa depan pelajar. 

“Psikologi pelajar memang ‘out’, impaknya bila viral orang nak tahu siapa pelajar ini, kami kumpulkan profil mereka, kebanyakan adalah Gurumuda, ketua mentor subjek, kalau dia Gurumuda, bermakna dia mengajar kawan-kawan dia, tidak akan dia meniru,” katanya. 

Terdahulu, tular hantaran di Facebook, mengenai surat keputusan LP yang mengekalkan status pembatalan keputusan kertas Sejarah 2 SPM 2021 bagi 15 pelajar sebuah sekolah di Putrajaya berikutan terbawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan.

 

Previous Post Next Post