Radzi ketika berucap di Konvensyen PPD Siri Kedua di IAB, Bandar Enstek, Negeri Sembilan |
22 JULAI - Pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu mengubah persepsi kehadiran mereka ke sekolah sebagai 'mencari salah' guru. Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin dalam satu pertemuan bersama 146 pegawai PPD semalam di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Radzi turut berkongsi asar, hala tuju, perancangan serta langkah-langkah yang akan dan telah diambil KPM dalam mentransformasi pendidikan serta peranan yang harus dimainkan pegawai PPD bagi memastikan perubahan yang digariskan dilaksana dan mencapai objektif ditetapkan.
"Pegawai PPD seharusnya menjadi ejen yang bertanggungjawab menyebarluas dan menjelaskan tentang dasar, perancangan serta hala tuju pendidikan negara yang digaris KPM kepada kumpulan sasar iaitu guru, sekolah dan ibu bapa," jelas beliau.
Menurutnya lagi, Pegawai PPD perlu sentiasa hadir di sekolah bagi mengenal pasti masalah, keperluan serta mencari penyelesaian segera kepada perkara tersebut.
PPD juga perlu menjadi pemudahcara antara pihak sekolah dengan JPN dan juga KPM sekiranya perkara tersebut tidak boleh diselesaikan di peringkat PPD.
"Persepsi atau tanggapan kehadiran PPD di sekolah sebagai 'mencari salah', perlu diubah.
"Sebagai institusi yang paling dekat dengan sekolah, PPD perlu menjadi rakan yang sentiasa berusaha membantu sekolah," katanya.
Beliau berkata, hubungan baik antara PPD, pentadbir sekolah dan guru akan membantu kelancaran pelaksanaan setiap dasar, perancangan serta transformasi pendidikan yang digariskan kementerian.
"Untuk memastikan pegawai PPD dapat menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan secara optimum, KPM sentiasa berusaha memperkasakan sistem penyampaian agar maklumat yang tepat dapat disalurkan antara KPM-JPN-PPD-Sekolah," katannya lagi.
Menurutnya, pengalaman serta hubungan baik sedia ada antara PPD, sekolah dan juga guru, beliau yakin usaha memperkukuh peranan pegawai PPD ini boleh dilakukan seiring transformasi pendidikan yang digariskan KPM.