Murid Tingkatan 1 tidak boleh membaca bukan perkara baharu - Radzi Jidin


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang untuk menggunakan pendekatan berbeza berbanding sedia ada bagi mengatasi masalah literasi dalam kalangan murid sekolah. Cadangan itu disuarakan Menteri Kanannya, Datuk Radzi Jidin susulan masih terdapat murid sekolah yang tidak tahu membaca walaupun sudah memasuki Tingkatan Satu.

Bagaimanapun jelasnya, masalah pelajar Tingkatan Satu belum boleh membaca bukan isu baharu dan bukan semata-mata kerana kekangan pandemik COVID-19.

Sebaliknya, isu berkenaan telah berlaku sebelum pandemik lagi dan kementerian sentiasa berusaha mengatasinya.

"Apabila kita turun ke bawah, kita dengar guru-guru di sekolah menengah, di mana masih ada murid-murid yang masuk ke Tingkatan Satu masih belum boleh membaca.

"Ini bukan perkara baharu. Bukan semata-mata kerana COVID-19. Sebelum datangnya COVID-19, ini merupakan salah satu cabaran utama di mana murid masuk sekolah menengah dan masih belum boleh membaca," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-29 di Auditorium Dato' Razali Ismail, Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan murid yang lambat membaca sukar memahami pendekatan suku kata yang dilakukan dalam sistem pendidikan ketika ini dan ia menuntut langkah yang lebih berkesan dilakukan.

"Saya telah berbincang Ketua Pengarah Pendidikan untuk melihat apakah pendekatan yang mungkin berbeza dalam konteks literasi ini bagi membolehkan pengajaran membaca itu dapat dilaksanakan dengan pendekatan yang bukan sahaja dengan suku kata, tetapi pendekatan yang berbeza.

"Ia untuk membolehkan anak-anak yang tidak biasa atau tidak cenderung dengan pendekatan yang ada sekarang ini untuk lebih mudah membaca... untuk memastikan intervensi dibuat lebih awal," katanya.

 

Previous Post Next Post