Murid jatuh bersama jambatan roboh masih trauma


BELURAN: Pengalaman cemas terjatuh bersama jambatan usang yang roboh ketika dalam perjalanan ke sekolah pada Selasa lalu, meninggalkan kesan trauma kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Maidan, di sini, Nurul Izah Farzana Asmadi. 

Kejadian itu berlaku ketika kanak-kanak berusia sembilan tahun itu cuba menyeberangi jambatan daif sepanjang kira-kira 230 meter di Kampung Maidan, dekat Paitan, di sini, yang menjadi penghubung kediamannya di laut dengan kawasan darat di mana sekolahnya berada. 

Nurul Izah yang mengakui masih trauma berkata, ketika berjalan menyeberangi jambatan sambil ditemani ibunya untuk ke sekolah, struktur berkenaan yang sememangnya sudah usang tiba-tiba roboh menyebabkannya turut terjatuh. 

"Saya terkejut dan menangis selepas terjatuh. Ibu kemudiannya menarik tangan saya naik ke atas semula. 

"Kami kemudian pulang ke rumah dan saya membersihkan kotoran akibat terkena lumpur lalu ke sekolah," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. 

Ibunya, Zazizah Kasim, 30, turut mengakui terkejut dengan insiden itu apatah lagi Nurul Izah hampir terkena paku akibat kejadian terbabit. 

"Nasib baik dia tidak terjatuh di atas paku, namun dia tetap ketakutan. 

"Saya terpaksa pujuk dia untuk ke sekolah pada hari itu kerana dia takut. Dua hanya setuju untuk ke sekolah pada hari berkenaan jika dihantar menggunakan motosikal," katanya. 

Keadaan jambatan di Kampung Maidan ketika sedang dibaiki selepas kejadian Selasa lalu. - NSTP/ HAZSYAH ABDUL RAHMAN

Dalam pada itu, bapa mangsa, Asmadi Palapau, 38, yang juga seorang nelayan berkata jambatan itu menjadi penghubung penduduk dari bahagian Kampung Maidan di darat di mana sekolah berada, dengan kawasan laut yang menjadi tempat tinggal keluarganya. 

"Kiranya kampung ini terbahagi dua kawasan dan jambatan itu menjadi laluan utama kami setiap hari. 

"Untuk ke kedai atau ke jeti nelayan dan macam-macam lagi urusan, jambatan ini sangat penting kerana laluannya sangat dekat iaitu hanya berjalan kaki kira-kira 10 minit. 

"Memang ada jalan darat, tetapi ia agak jauh dan jika berjalan kaki boleh mengambil masa sehingga sejam," katanya. 

Sehubungan itu, Asmadi berharap jambatan itu dapat dinaik taraf kepada jambatan konkrit ataupun laluan itu dibina jalan raya sekali gus. 

Dalam pada itu, tinjauan ke lokasi mendapati jambatan usang itu sudah dibaiki dan boleh digunakan semula. 

Terdahulu, tular di media sosial sekeping gambar Nurul Izah terjatuh bersama jambatan usang yang roboh dalam kejadian Selasa lalu.

 

Previous Post Next Post