Mansuh SPM, STPM lahir generasi lemah - Pusat Tuisyen


SAUDARA PENGARANG,

MEMBIDAS artikel bertajuk Kita mesti berani mansuh SPM, STPM yang diterbitkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 28 Julai lalu, saya menyifatkannya agak keterlaluan. Ini kerana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ialah peperiksaan penting di peringkat sekolah menengah dan sekiranya dihapuskan, sekolah umpama tiada fungsi dan guru umpama baby-sitter di sekolah. 

Pemansuhan peperiksaan ini umpama menutup terus institusi pendidikan yang berfungsi melahirkan pelajar dan pemimpin berjaya pada masa hadapan. 

Ini hanya boleh dicapai melalui sistem peperiksaan yang sudah terbukti mampu melahirkan ramai bijak pandai dan berjaya dalam kehidupan. 

Memansuhkan peperiksaan bukan jalan penyelesaian yang baik terutama dalam sistem pendidikan kerana persekolahan dan peperiksaan sewajarnya tidak dipisahkan.

Melalui sistem pemansuhan peperiksaan ini bakal melahirkan generasi yang tidak berdaya saing, malas, tidak minat untuk belajar serta meningkatkan gejala negatif dalam kalangan pelajar dari aspek sikap kerana tiada hala tuju dan tiada peperiksaan. 

Mereka hanya ke sekolah untuk menghabiskan masa terluang. Malah tindakan itu juga bakal melahirkan tenaga kerja dan tenaga pakar berasaskan kemahiran semata-mata. 

Kemahiran sepatutnya diseimbangkan dengan teori. Jika ia terus berlaku dikhuatiri akan melahirkan generasi yang tidak tahan dengan tekanan, tidak berdisiplin dan banyak lagi. 

Keadaan lebih parah ketika pelajar memilih kursus untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi. Adakah ini bermakna pelajar bebas memilih bidang tanpa ada peperiksaan atau bukti kejayaan di peringkat sekolah? 

Sudah terlalu banyak kesan buruk yang dilihat berlaku gara-gara pemansuhan peperiksaan di peringkat sekolah rendah. 

Pelajar yang ada kini semakin lemah dan ketinggalan jauh dalam aspek pelajaran dan perlu diperkasakan semula melalui sistem peperiksaan untuk menilai tahap kebolehan dan disilpin mereka sebagai individu cemerlang. 

MOHD. BADRUL AZHAR ZULKAPLI 
Setiausaha Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Negeri Sembilan
Previous Post Next Post