Laksana TVET waktu Tingkatan 1, bukan Tingkatan 4



Bekas Ketua Pengarah Pendidikan berpandangan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilaksanakan lebih awal iaitu ketika di Tingkatan 1 berbanding Tingkatan 4 ketika ini bagi memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran yang mereka minati.

Menurut Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, pelajaran TVET amat diperlukan pada masa kini kerana skopnya luas di mana pelajar boleh memilih sama ada mahu bekerja dalam sektor industri atau melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

"Orang yang ada kemahiran teknikal boleh menjana pendapatan tinggi kerana kemahiran ini bukan semua orang ada.

"Jika tidak ingin sambung belajar, mereka boleh masuk ke dalam industri. Dengan adanya kemahiran itu, mudah untuk mereka cari kerja atau buka syarikat sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin. 

Pada 6 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggubal dasar baharu berkaitan TVET agar ia menjadi lebih relevan.

Menurut Ismail Sabri, KPT dan agensi berkaitan perlu menjenamakan semula pendidikan tersebut bagi menghapuskan persepsi ibu bapa terhadap TVET sebagai pendidikan kelas kedua atau tidak relevan.  

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim yang senada dengan perkara tersebut berpandangan, perlu ada komitmen daripada kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar sumber yang mencukupi disediakan termasuk kewangan, kemudahan infrastruktur dan peralatan, serta tenaga pengajar. 

Tambahnya, penjajaran ke peringkat seterusnya perlu diteliti supaya ada kesinambungan dan pelajar diberi laluan pendidikan yang boleh diakses. 

"Saya setuju TVET ditawarkan lebih awal kerana ia menyediakan lebih peluang pendidikan dan kerjaya bagi pelajar mengikut kebolehan, kecenderungan, minat dan bakat masing-masing. 

"KPM telah menyediakan Pendidikan Asas Vokasional (PAV) bagi Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dengan pensijilan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) namun telah ditamat kan secara berperingkat. me 

"KPM mungkin boleh semak semula program tersebut untuk meneliti kebolehlaksanaannya dengan penambahbaikan atau pembaharuan serta mengambil kira keperluan baharu pasaran tenaga kerja dan permintaan industri," ujarnya. 

sinarpremium
Previous Post Next Post