KPM bakal perkenal sistem utiliti, penjadualan dan pelaporan baru


KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membangunkan tiga sistem baharu bagi meningkatkan kecekapan pengurusan di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, usaha tersebut merupakan kesinambungan mengadaptasi pendigitalan dalam pendidikan sekali gus menambah baik sistem pengurusan sedia ada.

Menurutnya, KPM akan menyusun semua maklumat berkaitan dengan penggunaan utiliti di sekolah bagi memantau sekiranya terdapat penggunaan yang tidak sepatutnya.

“Apabila saya turun ke sekolah, kita dapati banyak pembaziran air khususnya dalam kawasan sekolah.

“Sebagai pentadbir sekolah, mereka perlu cakna kerana bil ini dibayar secara pukal,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Anugerah Penggunaan Digital Dan Teknologi (DUTA) di auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, di sini hari ini.

Radzi berkata, perkara sama akan dilakukan bagi sistem penjadualan dan sistem pelaporan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dikatakan membebani guru-guru.

“Kita akan bangunkan sistem yang lebih menyeluruh agar semua sekolah seluruh negara boleh buat jadual waktu menggunakan aplikasi tersebut.

“Untuk pelaporan PdP juga kita akan selaraskan bagi mengelakkan para guru terus dibebani,” ujarnya.

Jelas Radzi, perbincangan meneliti sistem utiliti sudah berada di peringkat akhir kementerian manakala penjadualan dan pelaporan PdP masih di peringkat awal. – KOSMO! ONLINE

 

Previous Post Next Post