PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia untuk mengaktifkan pelan kontigensi kesihatan susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan Penyakit Seperti Influenza (ILI) di negara ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya perlu mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu sebelum melaksanakan pelan itu.
Katanya, KPM sentiasa mengadakan perbincangan dengan KKM mengenai situasi kesihatan di negara ini khususnya yang membabitkan pelajar sekolah.
"Dalam tempoh dua tahun, sudah banyak yang kita pelajari dan apa yang penting ialah segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM akan kita patuhi.
"KPM sentiasa berbincang bagi memastikan walaupun dalam keadaan influenza atau COVID-19 sedikit meningkat, kita masih boleh meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan selamat dan teratur.
"Kita sudah melalui keadaan yang sukar sebelum ini dan kita boleh aktifkan apa sahaja pelan yang sudah ada," katanya pada sidang media selepas melancarkan Liga Tunas Malaysia di Stadium Mini Pancarona, Presint 18, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes ILI membabitkan kes COVID-19 di seluruh negara menunjukkan peningkatan 8.5 peratus kepada 11.5 peratus berbanding 10.6 peratus sebelumnya.
Berikutan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya bersiap sedia untuk menambah jumlah katil jika berlaku peningkatan pesakit ILI di hospital.
Khairy berkata, tindakan sama pernah diambil sebelum ini ketika pertambahan jumlah kes COVID-19 di hospital pada ketika itu.
Sementara itu, mengulas mengenai Liga Tunas berkenaan, Radzi berkata, ia memberi peluang kepada pihaknya dan KBS mencungkil bakat bola sepak yang ada pada murid lebih awal serta membolehkan pelajar menyertai lebih banyak pertandingan ketika di sekolah.
"Ini adalah program yang julung kali diadakan dengan kerjasama KBS. Menerusi liga ini, kita akan mengambil lapan pasukan teratas dalam Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD).
"Apa yang berlaku sebelum ini, pelajar ini akan bertanding antara sekolah dalam daerah sebelum dipilih mewakili daerah. Tetapi menerusi program yang kita anjurkan ini, mereka ini diberi ruang untuk untuk bertanding di peringkat yang lebih tinggi.
"Liga ini juga akan menjadi platform kepada KBS atau persatuan sukan mencungkil bakat baharu dalam bidang bola sepak," katanya.