Nur Salina bersama dua anaknya berusia 11 dan 12 tahun ketika ditemui di Kampung Manjoi Tambahan, Gugusan Manjoi, Ipoh. - Imej via Sinar Harian |
Disebabkan sering ponteng sekolah akibat kesempitan hidup, tiga beradik berusia 12, 11 dan 8 tahun gagal menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Suri rumah, Nur Salina Mohd Hussin, 33, berkata, pendapatan suaminya, Azahari, 37, yang tidak menentu dan sering bertukar kerja menyebabkan mereka mengalami kesulitan untuk menghantar anaknya ke sekolah.
"Saya mahu sekolahkan anak-anak dan beri mereka pendidikan sempurna seperti kanakkanak lain. Saya tahu anak-anak saya teruja untuk pergi sekolah.
"Tapi bila tiada duit belanja, saya tidak ada pilihan lain. Anak-anak juga faham kenapa tidak dapat hantar ke sekolah pada hari tersebut.
"Melihat keadaan sekarang ini, saya memang tidak mampu walaupun sekolah dekat sahaja dengan menaiki motosikal yang dipinjam daripada kakak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Manjoi Tambahan, Gugusan Manjoi di sini.
Nur Salina berkata, dia berusaha mencari pendapatan lain dengan menjual sayur kampung dan petai di tepi jalan tetapi tidak bertahan lama kerana masalah modal.
"Perniagaan itu tidak diteruskan lagi. Emak saya (Zahariah Nawi, 65) pula sudah seminggu terlantar di hospital selepas menjalani pembedahan kaki akibat kencing manis.
"Makan pun kami tidak menentu. Ada duit bolehlah belanja barang-barang dapur. Kami amat bersyukur jika dapat kotak makanan yang diberikan ketua kampung seperti beras dan sardin. Dapatlah makan yang sedap sedikit," katanya.
Nur Salina berkata, dia perlu berfikir panjang untuk meninggalkan anak-anaknya di rumah sekiranya keluar bekerja.
Dia juga mengakui belum menerima apa-apa bantuan daripada pihak berkaitan.