Muhammad A’imullah Nur Aliya Shafiyyah menyusun meja bagi memudahkan ibunya menjual makanan di depan rumah mereka di Taman Limbongan Permai, Melaka. |
Kesempitan hidup keluarga menyebabkan tiga beradik di Taman Limbongan Permai di sini adakala terpaksa ponteng sekolah untuk membantu ibu mereka bemiaga makanan.
Muhammad A'imullah Nizam, 16, dan adiknya, Muhammad Iman Haikal Nizam, 14, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah terpaksa berbuat demikian kerana ibu mereka, Norehan Nekmat, 35, disahkan menghidap sakit jantung.
Seorang lagi adik mereka ialah Nur Aliya Shafiyyah Nizam, 10, merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Limbongan di sini.
Muhammad Iman Haikal membantu mencuci pinggan mangkuk |
Mereka turut mempunyai dua orang lagi adik yang masih bersekolah.
Norehan berkata, kesihatan suaminya yang bekerja sebagai pembantu am rendah tidak seperti dulu selepas terlibat dalam kemalangan beberapa tahun lalu.
Berikutan itu, katanya, dia berniaga makanan secara kecil-kecilan di depan rumah di Taman Limbongan Permai di sini bagi menyara anak dan dalam masa sama meringankan beban suami.
"Dengan cara ini sahaja saya dapat membantu suami untuk sekolahkan anak, lebih-lebih lagi harga barang sekarang makin meningkat.
"Sekurang-kurangnya mereka mempunyai duit belanja untuk ke sekolah," katanya sambil menambah anaknya pergi ke sekolah dengan menunggang basikal.
Norehan |
Norehan berkata, tiga daripada anaknya itu akan membantu setiap kali pulang dari sekolah.
Dia mengakui dalam sebulan anak-anaknya akan ada hari tidak hadir disebabkan tiada duit belanja.
"Dalam sebulan pernahlah sekali dua tidak pergi sekolah kerana tidak ada duit belanja. Makanan di kantin sekolah sekarang pun sudah mahal," katanya.
Norehan berkata, dia tidak mahu meminta-minta sebaliknya akan berusaha untuk kehidupan anak-anaknya.
Bagaimanapun, katanya, dia mendapat bantuan tahunan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). untuk membeli pakaian sekolah.
"Cuma bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau bantuan makanan MAIM saya tidak dapat sebab tak tahu cara nak memohonnya," jelas Norehan.