Keliru cara guna istilah 'murid' atau 'pelajar', ikuti penjelasan guru ini


Rata-rata penulisan oleh media, malah ulasan daripada luar sering menggunakan isitilah pelajar bagi menggambarkan situasi murid yang belajar di sekolah.

Cikgu Tan melalui laman blognya ada menulis mengenai isu kekeliruan ini. Beliau menulis:

Banyak yang masih keliru dan tidak pasti sama ada kedua-dua kata ini ada beza atau tidak. 

Tanyalah diri sendiri: 
Saya ada anak murid. 
Saya ada anak pelajar. 

Jika anda guru, anda ada anak murid, maka muridlah mereka. “Anak pelajar” pula merujuk anak yang dipunyai oleh pelajar seseorang guru. 

Lihat ayat di bawah: 

Banyak pelajar saya sudah berkahwin. Ada juga anak pelajar saya yang sudah belajar di prasekolah. 

Di sekolah rendah dan di sekolah menengah ada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Maka, sesuailah digelar murid. 

Di institusi pengajian tinggi pula ada Pejabat Hal Ehwal Pelajar. Maka, sesuailah digelar pelajar universiti, bukan murid universiti. 

Dalam penulisan, yang belajar juga digelar pelajar. Yang diajar juga digelar pelajar. Yang menjadi anak murid juga digelar murid, dan yang berguru tetap digelar murid. 

Jangan menghukum murid yang menyalahgunakan istilah “murid” mahupun “pelajar” kerana konsep asasnya sama, iaitu menuntut ilmu. 

Belajarlah menjadi murid yang mahir berbahasa agar kita dapat belajar menjadi insan yang terpelajar. 

Ilmu ada di mana-mana, pengetahuan boleh ditimba pada bila-bila dan belajarlah daripada siapa-siapa agar masa depan terjamin sampai bila-bila dan dapat digunakan di mana-mana apabila kita menghadapi siapa-siapa ataupun apa-apa cabaran sekalipun.

Cikgu Tan

Isu Bahasa yang tidak pernah berkesudahan ==================================== 

Kita boleh menggunakan perkataan "murid" atau "pelajar" untuk merujuk maksud orang yang menuntut ilmu. 

Namun demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah lama membuat ketetapan bahawa istilah "murid" digunakan khusus untuk murid sekolah rendah dan menengah. 

Oleh hal yang demikian, di sekolah rendah dan menengah, terdapat Unit Hal Ehwal Murid dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. 

Selain itu, istilah "murid" digunakan dalam buku teks untuk merujuk "pelajar". 

Istilah "pelajar" pula digunakan untuk merujuk mereka yang menuntut di universiti. 

Oleh hal yang demikian, di universiti terdapat Bahagian Hal Ehwal Pelajar atau HEP dan juga jawatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar. 

Oleh sebab ketetapan telah dibuat, marilah kita membezakan penggunaan istilah "murid" dengan "pelajar".

 

Previous Post Next Post