Dhaniyalaxmi (kanan) bersama ibu dan adiknya di Port Dickson pernah mengikat perut akibat masalah kewangan - Imej via Sinar Harian |
PORT DICKSON - Memahami - masalah dihadapi keluarga, seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini akur tidak hadir ke sekolah setiap kali tiada duit belanja.
M Dhaniyalaxmi, 15, yang merupakan anak sulung daripada dua beradik berkata, dia tidak mahu menyusahkan ibunya yang patah tulang pinggul akibat kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lalu.
Tambahan pula ibunya itu perlu menyara mereka tiga beranak termasuk adik lelakinya yang berusia tiga tahun dengan hanya bergantung kepada upah mengopek ikan bilis sebanyak RM200 sebulan.
Selain itu mereka juga bergantung kepada pencen mendiang bapanya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM500 sebulan..
"Pencen bulanan Perkeso itu, emak saya buat bayar sewa rumah. Jadi tinggal upah kopek ikan bilis sahaja untuk buat belanja dan bayar bil elektrik dan air.
"Buat masa ini, kerja mengopek ikan bilis sahaja yang mampu emak lakukan sebab masih menanggung sakit akibat kemalangan dan tidak boleh berdiri lama," katanya ketika ditemui Sinar Harian
Menurut Dhaniyalaxmi, walaupun jarak sekolah dengan rumahnya tidak jauh tetapi keluarganya pernah terputus bekalan makanan, malah menyebabkannya terpaksa tidak hadir ke sekolah.
Sementara itu, ibunya, C Makesvary, 39, berkata, dia tidak lagi boleh berdiri lama dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
"Saya masih menjalani rawatan susulan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban yang memerlukan kos tinggi terutama dari segi pengangkutan.
"Ada juga jiran-jiran membantu dengan menghulurkan makanan. Saya sebolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa," katanya.
Makesvary berkata, anaknya itu tiada pilihan lain selain mengorbankan persekolahannya serta berharap akan ada keajaiban buatnya untuk sembuh.