KUALA LUMPUR: Guru di sekolah digalakkan mempunyai pendedahan mengenai ilmu kesihatan supaya dapat membantu memantau gejala awal penyakit terutama Penyakit Seperti Influenza (ILI).
Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata ia bertujuan supaya guru dapat mengambil langkah pencegahan yang tepat jika ada pelajar yang mempunyai gejala.
Katanya, ia juga dapat mengelakkan daripada penyebaran yang lebih teruk, terutama di sekolah berasrama penuh.
"Sebagai contoh, jika ada pelajar yang mengalami gejala ILI, mereka akan ditempatkan di bilik isolasi dan apabila berada di situ, guru perlu memantau mereka. Guru juga perlu memastikan bilik isolasi tidak menempatkan ramai pelajar pada waktu yang sama bagi mengelak penularan.
"Jika guru mempunyai pendedahan ilmu kesihatan, sudah pasti mereka dapat mengambil langkah sewajarnya seperti mendapatkan rawatan segera bagi kes yang teruk, sekali gus membantu mengelak penularan," katanya kepada BH.
Prof Sharifa Ezat berkata, ketika ini, setiap sekolah terutama di sekolah berasrama penuh perlu memastikan mempunyai keperluan penjagaan kesihatan yang asas, termasuk alat jangka suhu, paracetamol, ubat cirit-birit dan alat pengukur kadar oksigen atau 'pulse oximeter'.
"Selain itu, penting juga pihak sekolah memastikan bilik isolasi mempunyai tandas khas supaya pelajar yang mendapatkan rawatan di bilik itu tidak menggunakan tandas lain," katanya.
Beliau berkata, ketika ini, ILI sudah bertembung dengan COVID-19 dan walaupun ia bukan pandemik, ia wabak yang perlu dibimbangkan kerana boleh menyebabkan kematian dan komplikasi kesihatan, khususnya bagi golongan rentan.
"Di Malaysia, secara umum tidak ramai yang mendapatkan vaksin Influenza kerana suntikan itu perlu dibuat setiap tahun, selain harganya yang mahal. Namun, dalam keadaan ketika ini, bayi seawal usia enam bulan dan pelajar di sekolah amat digalakkan mendapatkan suntikan vaksin Influenza," katanya.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat membantu memudahkan orang ramai mendapatkan kit ujian Influenza yang ketika ini amat sukar diperoleh, termasuk di klinik dan farmasi.
Katanya, kit itu memudahkan mereka yang disyaki mengalami Influenza untuk membuat ujian sendiri dan mengambil langkah seterusnya.
"Gejala ILI sama dengan demam biasa serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Jika tidak buat ujian, pesakit tidak tahu yang mereka sebenarnya menghidap Influenza.
"Saya berharap kit ujian Influenza ini juga dapat dijual seperti dengan kit ujian COVID-19, yang kini sudah banyak di pasaran. Selain itu, diharap kerajaan dapat menyediakan inisiatif seperti subsidi untuk memudahkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Influenza," katanya.
Sebagai langkah pencegahan, Prof Sharifa Ezat menasihati orang ramai supaya tidak berkumpul beramai-ramai seperti makan di tempat terbuka atau mengadakan sebarang perhimpunan dan sentiasa memakai pelitup muka terutama di tempat tertutup atau di kawasan sesak.