Alor Setar: Tiga lelaki kini masih dicari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru pendidikan moral yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim, dekat sini Khamis lalu lapor Harian Metro.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk G Suresh Kumar berkata, setakat ini hanya seorang suspek wanita berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.
"Berikutan itu, kita masih memburu tiga lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes yang menyebabkan kematian mangsa selepas mereka dikatakan terbabit dalam satu pergaduhan sebelum itu.
"Kita percaya tiga lelaki berkenaan yang juga individu yang menghantar mangsa ke rumahnya dan hospital kini sedang menyembunyikan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Suresh berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa.
Khamis lalu, Harian Metro melaporkan seorang guru berusia 54 tahun yang patah tengkuk serta turut mengalami kesan lebam di mata dan luka badan terpaksa dirawat menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum dilaporkan meninggal dunia jam 10 pagi di Hospital Kulim.
Mangsa sebelum itu dihantar tiga lelaki pulang ke rumahnya di Lunas namun melihatkan keadaannya yang tidak sedarkan diri, isteri mangsa meminta mereka membawa suaminya ke hospital.
Tiga lelaki berkenaan mendakwa mereka terserempak dengan mangsa dalam keadaan parah kononnya ditimpa kemalangan di sebuah lokasi di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, selepas menghantar guru berkenaan ke hospital, tiga lelaki terbabit terus beredar dan isteri mangsa yang tidak mengenali semua individu itu membuat laporan polis kerana curiga dengan kelakuan mereka.
Susulan itu, polis yang menjalankan siasatan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah restoran mendapati tiga lelaki berkenaan terbabit dalam pergaduhan dengan mangsa sebelum mereka dilihat menariknya keluar daripada premis terbabit.
Siasatan lanjut polis juga berjaya membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai penolong pegawai sebuah agensi kerajaan.
Wanita terbabit ditahan 4 pagi semalam di rumahnya di Ayer Itam, Pulau Pinang dan siasatan lanjut membongkar kepada rahsia tindakannya yang bersekongkol dengan tiga lelaki berkenaan.
Hasil siasatan, wanita itu mengaku yang dia ada meminta bantuan seorang daripada tiga lelaki itu untuk memadam gambar bogelnya yang dikatakan disimpan dalam telefon bimbit mangsa.
Selain itu, suspek juga turut meminta rakan lelakinya itu memberi 'amaran' kepada mangsa dan guru berkenaan kemungkinan dibelasah dengan teruk oleh mereka sehingga dia meninggal dunia.