KULIM: Seorang guru lelaki yang terlibat dalam kejadian pergaduhan dilaporkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Kulim, hari ini.
Astro AWANI melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar dipetik sebagai berkata, mangsa seorang guru pendidikan moral sebuah sekolah di Pulau Pinang berusia 54 tahun dikatakan pergi ke satu lokasi bersama rakannya.
Menurut laporan itu lagi, ketika itu guru berkenaan didatangi beberapa individu dan telah tercetusnya pergaduhan.
“Mangsa bagaimanapun dibawa pulang ke rumahnya di Lunas oleh rakannya dalam keadaan cedera.
“Isteri mangsa yang bimbang dengan tahap kecederaan mangsa telah meminta rakan suaminya membawa mangsa ke ke Hospital Kulim pada jam 9.15 malam Rabu,” lapor Astro AWANI hari ini.
Polis berkata, menurut doktor, mangsa mengalami patah tengkuk dan terpaksa bergantung dengan alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia jam 10 pagi Khamis.
Katanya lagi, kini polis sedang menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.