KUALA LUMPUR - Sejak dilancarkan Februari lalu, konsep Sekolahku Sejahtera yang menerapkan 14 elemen nilai kehidupan secara semula jadi kepada murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran sebenarnya masih lagi kabur.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berpendapat, program tersebut dijalankan tanpa panduan dan matlamat yang jelas.
Malah katanya, tiada kayu ukur untuk menunjukkan pencapaian pelaksanaan konsep tersebut.
“Semasa berbual dengan ramai guru di kalangan bekas pelajar saya dulu dan juga ibu bapa, saya dapat buat kesimpulan awal bahawa program Sekolahku Sejahtera sebenarnya kabur, ‘merayau-rayau’ dan tidak ‘sustainable’.
“Apa yang ada hanyalah poster, kain rentang dan arahan untuk pihak sekolah memainkan lagu Sekolahku Sejahtera pada waktu perhimpunan dan pada waktu rehat,” katanya kepada Getaran, hari ini.
Justeru beliau menjangkakan konsep tersebut akan dilupakan dan ditinggalkan tidak lama lagi.
“Jika nanti, apabila poster dan kain rentang yang digantung mula mereput dan ‘menyembah bumi’ dan lagu pun sudah tidak dimainkan lagi, apa yang tinggal tentang Sekolahku Sejahtera?
“Tiada apa-apa. Tinggal sejarah sahaja. Sebab itu pada saya, apa juga program pendidikan jika mahu dilaksanakan, mesti ada kerangka dan asas yang kuat. Kalau tidak jangan anjurkan, memenatkan sahaja,” katanya.
Terdahulu Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin semasa majlis pelancaran Sekolahku Sejahtera memaklumkan, 14 elemen yang terkandung dalam konsep tersebut ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.
Mohd Radzi berkata, kesemua elemen itu akan diterapkan seawal prasekolah dan diteruskan sehingga ke peringkat sekolah menengah.
Bagaimanapun Anuar berkata, bagi memastikan kesemua elemen itu diterapkan kepada murid, konsep Sekolahku Sejahtera harus mempunyai kerangka yang jelas untuk dicapai.
“Tanpa kerangka yang jelas, tidak mungkin pelaksanaan konsep itu akan berjaya dan berkesan. Kalau ‘malas’ sangat nak bina kerangka sendiri (atau mungkin tak mahir), boleh sahaja ambil contoh kerangka sedia ada.
“Misalnya ambil dari Model Keperluan Maslow atau boleh ambil model kesejahteraan insan dari perspektif Islam seperti yang diutarakan sarjana Islam Al Faruqi,” katanya.
Menurut beliau, mengikut panduan Maslow, sekiranya matlamat Sekolahku Sejahtera mahu dicapai, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memastikan segala keperluan asas murid di sekolah dapat dipenuhi terlebih dahulu.
“Perkara paling asas penuhi dahulu, keperluan biologikal dan fisiologi murid-murid. Misalnya makanan di kantin dipastikan ada secukupnya, berkhasiat, bersih dan murah. Tandas bersih dan selamat.
“Pengudaraan bilik darjah juga baik, tidak merimaskan dan sesak. Kipas angin dan lampu berfungsi dengan baik kerana suasana pembelajaran yang baik adalah asas kesejahteraan murid,” katanya.
Konsep Sekolahku Sejahtera tegas Anuar, tidak akan mampu direalisasikan jika keperluan asas pelajar masih jauh dari piawaian sepatutnya.
Pada masa sama, Anuar berkata, pelaksanaan konsep tersebut juga perlu mengambil kira keperluan psikologi murid dan guru.
“Adakah mereka gembira, saling bekerjasama, hormat-menghormati dan berkasih sayang antara satu sama lain? Jika tidak, mulalah anjurkan aktiviti untuk meningkat keperluan psikologi ini.
“Bukan setakat riuh rendah menyanyi lagu Sekolahku Sejahtera tetapi psikologi murid-murid tidak sejahtera,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar sekolah mempelbagaikan pengiktirafan bagi menghargai usaha keras setiap murid.
“Kadangkala kata-kata ucapan seperti ‘terima kasih’ atau ‘kamu murid yang hebat’ dari mulut guru adalah pengiktirafan paling sempurna di mata seorang murid.
“Oleh itu, budayakan apa yang boleh meningkatkan keperluan psikologi murid-murid di sekolah,” katanya.
Selain itu Anuar berkata, penerapan budaya saling mempercayai antara satu sama lain juga amat penting dalam membina Sekolahku Sejahtera.
“Guru besar dan pengetua perlu memberi kepercayaan kepada guru-guru dan bersikap adil. Guru-guru pula memberi kepercayaan kepada murid-murid untuk menunjukkan keupayaan dan kebolehan mereka.
“Sekolah juga galakkan pemupukan bakat, potensi dan inovasi warga sekolah, saling bantu-membantu dan bekerjasama. Akhirnya murid akan percaya pada diri sendiri dan yakin mereka insan berguna,” katanya.
Ujarnya lagi, apabila murid sudah ada keyakinan diri dan boleh berdikari maka konsep tersebut boleh dianggap mencapai matlamatnya. - Getaran, 12 Jun 2022