ZULKIFLI dan anaknya, Muhammad Ammrel Afif Ajmal ketika menduduki peperiksaan SPM 2021. Foto Ihsan Zulkifli Md Pungot |
Simpang Renggam: "Gementar juga untuk semak keputusan peperiksaan pagi tadi namun lega kerana sekali lagi dapat gred A dalam subjek Matematik ," kata Zulkifli Md Pungot yang juga Penolong Kanan Petang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abdul Rahman Andak (SDARA), di sini.
Zulkifli, 54, adalah seorang calon SPM 2021 bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.
Menariknya, bapa dua anak itu sudah menduduki peperiksaan SPM bagi subjek Matematik sebanyak 22 kali dan mendapat A+ dan A dalam kesemua percubaannya, termasuk bagi tahun 2021.
"Walaupun sudah banyak kali menduduki peperiksaan SPM bagi subjek Matematik, perasaan cemas tetap ada setiap kali mahu mengambil keputusan.
"Mana tidaknya, format peperiksaan sudah berubah dan bimbang juga jika teknik jawapan saya tidak melepasi aras piawaian Lembaga Peperiksaan.
"Akan tetapi, saya reda dan serah saja kepada takdir. Alhamdulillah, keputusannya menggembirakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Zulkifli, dia juga bersyukur kerana anak bongsunya, Muhammad Ammrel Afif Ajmal Zulkifli, 18, yang juga calon SPM 2021 mendapat dua A daripada 8 subjek diambil.
"Anak saya mendapat A dalam subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam, manakala B untuk Matematik selain gred kepujian tinggi serta tertinggi bagi (subjek) yang lain.
"Satu keputusan memuaskan untuknya yang berdepan ujian apabila dijangkiti Covid-19 sebelum menduduki peperiksaan kertas Bahasa Inggeris.
"Alhamdulillah, dia juga sudah melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Pendidikan Islam (DPI) di Kolej Universiti Islam Sultan Ibrahim Johor ( KUIJSI) pada 1 Jun lalu," katanya.
Ditanya kemungkinan menduduki lagi SPM untuk subjek Matematik, Zulkifli berkata, ia sudah pasti malah sudah membayar yuran bagi peperiksaan pada Julai dan November.
"Saya sudah daftar dan baru saja buat bayaran hari ini untuk menduduki kertas SPM 2022.
"Jujurnya saya belum puas kerana mahu menguji lagi kemampuan diri," katanya.
Pada 13 April lalu, Harian Metro melaporkan kisah Zulkifli yang sanggup menduduki semula SPM 2021 bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris demi memberi dorongan kepada anak bongsunya, Muhammad Ammrel Afif Ajmal.
Itu bukan pertama kali dia menduduki semula peperiksaan SPM kerana mempunyai rekod menjadi calon subjek Matematik sejak 2011.
Beliau juga pernah menjadi calon SPM bagi subjek Matematik pada 2016 dengan anak sulungnya, Puteri Nur Nabilah, 23, yang kini penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Makanan dekat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.