Imej hiasan |
PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan kursus integriti dan anti-rasuah di sekolah rendah.
Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad berkata, lebih mudah untuk memupuk murid di peringkat sekolah rendah supaya menjauhi amalan rasuah kerana mereka masih dalam usia pembentukan.
Ia susulan Jawatankuasa Khas Jemaah Menteri mengenai Anti-Rasuah memutuskan bahawa kursus itu akan diwajibkan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bermula tahun depan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norazlan Mohd Razali berkata, kursus itu akan menjadi pembelajaran berstruktur bagi membolehkan pelajar lebih memahami rasuah dan kesannya, bukan sahaja ke atas diri mereka tetapi juga negara.
Bagaimanapun, Nor Hizwan percaya pengenalan kursus ini di peringkat pengajian tinggi mungkin tidak mencukupi.
“Pendedahan subjek ini kepada pelajar di peringkat pengajian tinggi mungkin sudah terlambat walaupun ia diwajibkan,” katanya.
“Sebaik mencapai usia lewat remaja atau awal 20an, agak sukar untuk menerapkan nilai seperti menolak rasuah. Mereka akan hanya mempunyai pemahaman teori tentang subjek itu.”
Lebih mudah untuk membentuk minda yang masih mentah, kata Nor Hizwan.
Tambahnya, jika murid sekolah rendah didedahkan kepada subjek itu, kemungkinan besar mereka akan dapat menyerap pengajaran dengan lebih baik dan mengguna pakai apa yang diajar sepanjang hidup mereka.
“Selain pembaharuan institusi, salah satu elemen penting dalam memerangi rasuah adalah mengubah minda rakyat rakyat Malaysia, yang sebahagiannya masih merasakan rasuah adalah sebahagian daripada ‘budaya’ kita atau amalan yang ‘boleh diterima’.
“Untuk mengubahnya, kita perlu mempunyai rancangan jangka panjang dan ini termasuk kempen pendidikan awal mengenai perangkap rasuah,” katanya.