Imej hiasan |
PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meluahkan kekecewaan terhadap masalah kelewatan bayaran elaun guru pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Pengerusinya, Aminuddin Awang berkata, guru yang terlibat mengorbankan waktu cuti dan tenaga mereka demi melaksanakan tugas, justeru bayaran elaun wajar disegerakan serta perlu lebih setimpal.
“Sebahagian besar daripada waktu peperiksaan SPM berlangsung dalam cuti pertengahan penggal dan dalam hal ini guru yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan ini sudah pastilah kehilangan waktu cuti mereka kerana terpaksa bertugas.
“Ditambah pula dengan kelewatan dari segi pembayaran ini saya rasa adalah sesuatu yang cukup mengecewakan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sehubungan itu, pihak NUTP menggesa agar Kementerian Pendidikan (KPM) khususnya Lembaga Peperiksaan (LP) mencari langkah berkesan bagi menangani masalah itu, selain meneliti semula kadar bayaran.
“Kita telah beberapa kali membuat permohonan pada pihak KPM khususnya Lembaga Peperiksaan agar bayaran kepada petugas peperiksaan ini dapat ditingkatkan selaras dengan perkembangan semasa ekonomi negara dan dunia,” ujarnya.
Kata Aminuddin, proses bayaran penting untuk disegerakan dan dinilai semula agar menjadi motivasi kepada petugas peperiksaan yang akan bertugas pada SPM 2022 selain mengelakkan masalah kesukaran mendapatkan petugas.
“Dalam hal ini, kita mengharapkan agar KPM lebih memahami situasi dihadapi oleh Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negara yang sememangnya amat sukar untuk mendapatkan petugas peperiksaan,” tambahnya.
Pada 8 Jun lalu Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin, memberitahu beliau akan mengarahkan tuntutan bayaran dan elaun perjalanan guru pengawas SPM dibayar mulai 9 Jun, namun ia hanya mula diterima bermula 21 Jun lalu.
Namun, FMT semalam melaporkan hasil temu bual bersama beberapa orang guru mendapati masih ramai yang belum mendapat bayaran meskipun sudah menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan tuntutan yang dibuat sejak Mac lalu.
Difahamkan, tuntutan elaun mengawas untuk ujian lisan SPM yang dibuat sejak Februari lalu juga belum dilunaskan kerajaan.