Murid dakwa diraba, dicium guru lelaki dalam makmal sains sekolah

Seorang guru lelaki berusia 36 tahun direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun.


Pemangku Ketua Polis Kelantan DCP Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah agama di Kuala Krai, semalam.

Menurutnya, mangsa dalam keterangannya menyatakan pada kejadian pertengahan Mac 2020, dia terserempak dengan guru sains dan matematik itu dan dipaksa masuk ke dalam kereta.

"Guru tersebut dikatakan telah memaksa mangsa masuk ke dalam keretanya dan telah meraba tubuh badan serta mencium mangsa beberapa kali.

"Pada Mei 2020 antara jam 9.00 pagi hingga 11 malam semasa mangsa berada di rumah, mangsa juga telah diganggu oleh guru tersebut dengan gambar-gambar lucah yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Tambah Muhamad Zaki, pada bulan Januari 2021 mangsa telah dipanggil guru tersebut berjumpa dengannya di makmal sains dan suspek bertindak mencium dan meraba mangsa.

"Kejadian tersebut dilaporkan berulang sebanyak tujuh kali di tempat yang sama dan hari berlainan," katanya.

Bertindak atas laporan dan maklumat yang diterima Muhamad Zaki berkata, suspek kemudiannya ditahan kira-kira jam 11.30 malam, di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, semalam.

"Ujian saringan air kencing dijalankan ke atas suspek berkeputusan negatif dan suspek direman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak," katanya.
Previous Post Next Post