Mansuh PT3: Mudahkan tugas guru laksana pentaksiran

Muhammad Zakir Abdul Razak

KUALA LUMPUR – Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) yakin pemansuhan PT3 sebagai salah satu langkah awal untuk negara untuk keluar daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan.

Menyifatkan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu sebagai langkah baik, Presiden Pepias, Muhammad Zakir Abdul Razak berkata, para pelajar sepatutnya perlu diberi ruang sebesarnya untuk membina keupayaan diri berdasarkan potensi masing-masing.

Malah, beliau percaya jika proses ini diperkasakan, negara bakal melahirkan generasi yang lebih berupaya dan berkarakter.

”Pepias melihat ini sebagai salah satu usaha negara untuk keluar daripada pembelajaran yang berdasarkan peperiksaan kerana pendidikan bukanlah semata mendapatkan gred dan markah. Pendidikan yang sebenar adalah membina karakter dan insaniah dalam diri setiap pelajar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, selama ini, kebanyakan guru akan menumpukan perhatian terhadap persiapan peperiksaan besar termasuk mempersiapkan murid-murid.

Guru terpaksa segera menghabiskan siilibus dengan pelbagai cara termasuklah dengan latih tubi.

Oleh itu, pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah melibatkan PBD, PAJSK dan PPsi untuk mengukur tahap penguasaan dan prestasi murid secara formatif dan sumatif ini dilihat sebagai salah satu langkah mengurangkan tekanan guru dan murid.

Namun begitu, Pepias mencadangkan agar KPM turut mengambil kira kegusaran sesetengah pihak mengenai murid tiada motivasi dan kesungguhan dalam pembelajaran apabila peperiksaan dimansuhkan.

KPM juga perlu memperincikan mekanisma yang memudahkan dan mengurangkan beban guru dalam menjalankan pentaksiran, ujarnya. – MalaysiaGazette

 

Previous Post Next Post