Putrajaya: Semakan semula kurikulum sekolah rendah dan menengah yang bakal dilaksana, kelak akan meneliti sama ada sesetengah mata pelajaran benar-benar sukar seperti yang didakwa atau pelajar tidak biasa dengannya.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan tamat pada tahun ini, manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSR) tamat tahun lalu.
"Jika tamat pusingan ini, memang kita akan semak semula silibus. Kita lihat kesesuaian dengan mengambil kira keadaan dan perkembangan semasa.
"Ia tidak boleh dibuat secara suka-suka, ada proses perlu diikuti. Tidak boleh hari ini kata nak semak, kita boleh semak.
"Dalam konteks ini, dalam semakan semula nanti, kita akan lihat sama ada isunya sama ada(kurikulum) benar-benar kompleks atau ketidakbiasaan. Ini perkara yang sedang kita beri tumpuan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18(2) serta Mesyuarat Agung hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Nor Zamani Abdol Hamid.
Radzi berkata demikian susulan rungutan segelintir ibu bapa dan guru terhadap kurikulum beberapa mata pelajaran seperti Matematik Tahun Satu yang didakwa beraras tinggi.
Sementara itu, Radzi berkata, kementerian memberi keutamaan untuk membuka sekolah baharu di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti di Klang, Selangor dan beberapa kawasan di Johor.
Katanya, pihaknya sedang mencari lokasi yang sesuai bagi tujuan itu kerana tidak semua kawasan dengan kepadatan penduduk tinggi mempunyai tanah yang sudah tersedia untuk pembinaan sekolah.
"Sebagai contoh, Klang antara kawasan paling padat dan ada sekolah yang bilangan muridnya hampir 4,000 orang.
"Jadi, kita ambil pendekatan menyediakan sekolah baharu, namun cabaran besarnya adalah untuk mendapatkan tanah yang sesuai," katanya.
Beliau berkata, setiap tahun, purata sekolah baharu yang dibina di seluruh negara adalah 10 sekolah.
Mengenai sama ada KPM bercadang untuk menjadikan warden sekolah berasrama sebagai jawatan tetap selepas kadar elaun mereka dinaikkan 25 peratus bermula 1 Ogos ini dan pertambahan jumlah warden seramai 3,813 orang, Radzi berkata, pihaknya berbincang semua pilihan yang ada sebelum membuat keputusan itu.
"Keputusan semalam (kenaikan elaun) sudah mengambil kira semua kekangan yang ada. Bukan kita tidak dengar semua cadangan yang diberikan dan kita lakukan analisis serta perbincangan mengenainya dengan agensi pusat.
"Ada kekangan di luar ruang lingkup kami dan berdasarkan kekangan itu, kita buat yang terbaik. Ada beberapa perkara yang sedang kita usahakan, antaranya takrifan rumah warden dan membuat penambahbaikan berterusan," katanya.
Mengenai majlis berkenaan, Radzi berkata, sebuah blok bangunan baharu dan padang akan dibina di SK Putrajaya Presint 18(2), membabitkan kos RM14.5 juta, susulan pertambahan perumahan baharu di kawasan sekitar.
Katanya, bangunan baharu yang dijangka siap pada Mei 2024 itu, akan dilengkapi 18 bilik darjah, bilik mesyuarat guru dan bilik guru serta pelbagai kemudahan lain.