Imej hiasan |
PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Akhir Sesi Akademik dalam pentaksiran sumatif bermula tahun ini tidak akan digunakan untuk kemasukan ke sekolah khusus.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata murid sebaliknya perlu menduduki Pentaksiran ke Sekolah Khusus (PKSK) yang mula diguna pakai sejak 2020.
"Pendekatan untuk masuk (ke sekolah khusus) adalah, murid yang berminat perlu menduduki pentaksiran berasingan iaitu PKSK.
"Itu adalah pendekatan yang kita gunakan. Jangan nanti ingat kita tidak ada PKSK kerana ia kekal dan akan digunakan untuk kemasukan sekolah khusus," katanya pada Sidang Media Khas di kementeriannya semalam.
Ditanya sama ada kedua-dua ujian akan dijalankan serentak, Radzi berkata ia dilakukan secara berasingan seperti sebelum ini.
Sekolah khusus merujuk kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD)
Radzi berkata, PKSK mempunyai prosedur sendiri dan KPM akan mengumumkan bila murid akan boleh mendudukinya.
Apabila tarikh diumumkan, murid satu calon berminat bolehlah ke pusat yang ditetapkan KPM.
"Tujuan kita adalah kita tidak mahu ujian ini (Ujian Akhir Sesi Akademik) dijadikan 'high stakes exam' (ujian penting) yang semua memberikan tekanan untuk masuk asrama," katanya.
Mengenai pemilihan aliran sama ada Sains atau Sastera di Tingkatan Empat, Radzi berkata perbincangan akan diadakan dengan guru, murid serta ibu bapa dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) akan membantu penetapan itu.