PETALING JAYA: Tindakan mereka menentang seorang guru dan pihak berkuasa kerana isu jenaka rogol memberi kesan kepada Ain Husnizah Saiful dan keluarganya.
Menurut bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab, mereka terpaksa berpindah dari Puncak Alam ke Cheras selepas berdepan tekanan daripada pihak sekolah, pelajar serta penduduk sekitar.
Katanya, situasi menjadi semakin teruk sejak kejadian pada April lalu itu sehingga dia beranggapan tiada gunanya menentang pihak sekolah dan masyarakat apabila mereka dilihat sebagai penyebab kepada seluruh insiden itu.
Saiful berkata, mereka tidak membuat rayuan terhadap tindakan buang sekolah anaknya kerana tidak hadir selama tiga hari.
“Anak saya dijadikan seperti punca kejadian itu sedangkan dia sebenarnya adalah mangsa,” katanya.
Masalah Ain bermula apabila dia membuat pendedahan umum dengan mendakwa seorang guru pendidikan jasmani membuat jenaka tentang rogol yang didakwa mendorong pelajarnya melakukan jenayah itu.
Saiful berkata, adik-beradik Ain di sekolah sama turut diejek manakala ada yang membuat pelbagai tuduhan terhadap keluarga itu.
“Memandangkan pihak berkuasa juga tidak bersimpati kepada kami pada masa itu, saya membuat keputusan berpindah ke Cheras pada Oktober tahun lalu selepas Sekolah Antarabangsa Chempaka menawarkan biasiswa kepada Ain,” katanya.
Saiful berkata, keluarga itu beranggapan dalam keadaan itu, adalah sia-sia untuk terus berada di sekolah kerajaan.
Laporan polis yang mereka buat mengenai guru itu dan gangguan seterusnya diketepikan selepas diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” oleh Jabatan Peguam Negara.
Sejak itu, Ain dan bapanya telah disaman oleh guru berusia 43 tahun itu, Khairul Nizam Sanuddin, kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya di media sosial dan melalui temu ramah di akhbar selepas itu.
Mereka memfailkan tuntutan balas terhadap Khairul dan kerajaan kerana mendatangkan tekanan emosi yang dicetuskan oleh jenaka rogol dan keadaan selepas itu.
Mereka yang lain yang dinamakan dalam saman itu ialah guru besar pada masa itu, Sarimah Mohammed Nor, Pengarah Pendidikan Selangor Anismah M Noh, Menteri Pendidikan Radzi Jidin dan kerajaan.
Mereka juga membantah langkah peguam kerajaan mewakili guru dan guru besar yang disaman atas kapasiti peribadi mereka.