IPG anjur kursus pendidikan kepada 25 anggota tentera timbul tanda tanya


KEHADIRAN 25 Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikuti Bengkel Kerja Kemahiran Andragogi di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Kuala Lumpur, baru-baru ini menimbulkan tanda tanya kemungkinan mereka beralih profesion sebagai pendidik. 




Pegawai tentera itu meliputi tiga cabang ketenteraan utama iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kursus dikendalikan Majlis Pensyarah Cemerlang IPGKIK. 

Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Faridah Yakob berkata, kemahiran itu dilihat memberi nilai tambah kepada pengajar untuk lebih memahami keperluan peserta.

“Mereka aset yang mampu membantu pihak luar yang memerlukan khidmat kepakaran pengajaran dan pembelajaran.

“Peluang diberikan ATM ini memberikan satu lagi pengiktirafan terhadap sumber manusia dan kepakaran warga kami,” katanya pada Majlis Penutupan Bengkel Kemahiran Andragogi Pegawai ATM di IPG Kampus Ilmu Khas, Bandar Tun Razak, Cheras.

Kampus berkenaan mempunyai 15 Pensyarah Cemerlang. Keupayaan dan kecemerlangan mereka diperakui dalam penyampaian pedagogi mahupun andragogi. 





BUKAN SISWA GURU

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pusat Peperangan Bersama (PESAMA), Bahagian Operasi dan Latihan Pertahanan, Markas ATM, Leftenan Kolonel Norhisham Kamar berkata, kehadiran mereka bukan untuk menjadi ‘siswa guru dan bertukar profesion sebagai pendidikan sebaliknya mempelajari ilmu baharu dalam bidang Andragogi atau pembelajaran dewasa.

Norhisham



“Kerjasama strategik ATM dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan khususnya IPGKIK memberi suntikan baharu dalam kaedah dan teknik penyampaian pengajaran yang tepat, kreatif dan bermakna.

“Sudah tentu pihak ATM tidak mahu melepaskan peluang untuk menimba ilmu pengetahuan daripada pensyarah cemerlang IPG yang hebat dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran.

“Walaupun bentuk latihan sedikit berbeza tetapi input disampaikan boleh dimanfaatkan dalam latihan latihan kami. Banyak ilmu baharu di luar kotak fikiran kami pelajari,” katanya.

Pegawai dihantar ATM bukan calang-calang peserta kerana dalam kalangan mereka ada yang berpangkat Leftenan Kolonel, Leftenan Komander,Mejar, Leftenan dan Kapten daripada pelbagai cabang ketenteraan utama. 

Dalam aspek kepakaran pula, ada Jurulatih Juruterbang, pakar teknologi maklumat (IT), pakar risik, pakar perundangan, pakar peperangan strategik dan sebagainya.

Menariknya, mereka merupakan Jurulatih dan tenaga pengajar kepada latihan dalam bidang kepakaran masing-masing.

Justeru, penyampaian sewaktu pengajaran dan pembelajaran termasuk latihan kepada kepada siswa guru dan pegawai tentera atau golongan dewasa memerlukan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik berbeza.

Jika sasarannya pegawai tentera, seseorang pengajar perlu memahami prinsip pengajaran andragogi yang mengutamakan keperluan, pengalaman, perkongsian dan input yang diperoleh.

Antara kemahiran antragogi diterapkan termasuklah mengenali prinsip dan teori, pendekatan strategi, kaedah dan teknik, pentaksiran dan bimbingan pengajaran mikro. 

Walaupun tajuknya agak berat tetapi setiap slot disampaikan secara amali dengan menggunakan pelbagai kaedah yang tidak membosankan.

Turut diselitkan adalah slot Belajar Bahasa Isyarat yang menjadi kebitaraan IPGKIK untuk diperluas kepada komuniti.

 

Previous Post Next Post