Hadiah kambing untuk cabutan bertuah mesyuarat PIBG


TANJUNG MALIM: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Behrang 2020 di sini, yang mengadakan Mesyuarat Agung Ke-12 kelmarin mencipta kelainan apabila menawarkan hadiah seekor kambing untuk pemenang cabutan bertuah. 

Suri rumah, Sarimah Abd. Aziz, 53, memenangi hadiah cabutan tersebut iaitu seekor kambing jantan bernilai RM1,000. 

Hampir 100 hadiah cabutan bertuah disediakan yang menarik ibu bapa menghadiri mesyuarat berkenaan sehingga memenuhi dewan. 

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Prof. Madya Dr. Ghazali Din berkata, kambing sebagai hadian cabutan bertuah adalah idea spontan beliau beberapa hari sebelum mesyuarat diadakan semalam. 

“Idea spontan ini disambut baik rakan-rakan Ahli Jawatankuasa PIBG manakala pengusaha peralatan pendidikan, AR Edutech yang juga alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Abdul Rahman Bashah menyumbang wang untuk membeli kambing,” katanya semalam. 

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon yang merasmikan mesyuarat itu menganggap pendekatan menarik dan unik menghadiahkan kambing untuk cabutan bertuah membuktikan kreativiti PIBG. 

Dalam ucapannya, Hang Soon berkata, PIBG berperanan penting membantu pihak sekolah dalam melahirkan pelajar yang berbakat dan bersahsiah selain cemerlang akademik. 

Menurutnya, sekolah menerusi PIBG bersama Pejabat Pendidikan Daerah disaran melaksanakan program yang menggalakkan budaya membaca selain mengesan potensi diri setiap pelajar. 

“Saya menyarankan ibu bapa agar meluangkan masa 30 minit setiap hari mengulangkaji pelajaran bersama anak masing- masing,” katanya. – UTUSAN

 

Previous Post Next Post