PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mengambil iktibar kes guru “terpaksa menipu” mengenai tahap penguasaan (TP) murid supaya sejajar dengan apa yang dikehendaki oleh pihak atasan.
Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Othman Talib berkata, pengakuan guru berkenaan baru-baru ini harus dilihat dari sudut lebih luas, termasuk punca fenomena guru bersara awal.
“Bayangkan, kita tak pernah dengar selama ini ada cikgu yang mengaku menipu (mengenai prestasi pelajar). Jika benar, ini satu ‘turning point’ yang sangat negatif.
“Pihak atasan perlu berbuat sesuatu supaya tidak dianggap merestui tindakan guru yang mendakwa terdesak meletakkan TP yang lebih tinggi. Jika dibiarkan, sangat dibimbangi fenomena ini akan menjadi satu penyakit pula,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, tular laporan berhubung seorang guru bahasa Inggeris, Wan Maizura Kamaruddin, 53, yang nekad bersara awal kerana tidak tahan dengan lambakan kerja bukan mengajar sehingga terpaksa menipu TP muridnya.
“Kadang-kadang saya terpaksa menipu dalam memberi markah tahap penguasaan murid walaupun budak itu tidak tahu membaca,” Wan Maizura dilaporkan berkata.
Beliau mengaku berbuat demikian kerana mahu memastikan laporan TP muridnya itu menunjukkan “data cantik”, untuk mengelak diambil tindakan.
“Majoriti (guru) menipu demi nak mendapatkan data yang cantik,” kata Wan Maizura.
Bimbang diambil tindakan
Sumber memberitahu FMT, ramai guru bimbang diambil tindakan oleh guru besar sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) jika tidak mengemukakan rekod TP pelajar yang cemerlang, walaupun realiti adalah sebaliknya.
Wan Maizura pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Presint 16 (1), Putrajaya namun bersara lebih awal kerana menganggap tugasan di luar tanggungjawab sebagai pendidik yang dipikulnya terlampau membebankan.
Mengulas perkara itu, Othman berkata, suara guru berhubung isu tekanan beban kerja semakin lantang dan menggesa KPM serius menangani isu itu.
“Munculnya hasrat memilih untuk bersara awal akibat daripada tekanan kerja menyebabkan ada guru yang ‘burn out’ atau lesu upaya, jadi mereka sanggup meletakkan jawatan lebih awal,” katanya.
Pada 25 April lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin berkata, pola guru bersara awal antara 2017 hingga 2022 hampir sama dan tidak naik mendadak.
KPM sebelum ini mendedahkan sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru antara Januari hingga November tahun lalu.
Bagaimanapun, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menganggarkan lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun kebelakangan ini, iaitu jauh mengatasi statistik KPM.
Guru tertekan
Othman yang berpengaruh di media sosial berhubung isu pendidikan berkata, tekanan guru berkait beban kerja bukan mengajar bermula apabila Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan.
Susulan pemansuhan itu, KPM memberi keutamaan kepada pentaksiran bilik darjah (PBD) yang merangkumi penilaian TP setiap murid sekolah.
Othman berkata, guru wajib mengemukakan ribuan laporan TP pelajar untuk setiap “unit” dalam setiap satu mata pelajaran.
“Guru di seluruh negara kena laksanakan pengisian TP tersebut dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Semua data kena cantik dengan minimum TP3 atau guru dikatakan ‘gagal’ mengajar murid,” kata Othman.
“Selain mengisi TP ke dalam borang transit, guru juga perlu masukkan data yang sama ke dalam sistem (komputer). Ini adalah kerja yang bertindih. Silibus yang padat dan bilangan murid yang ramai tambah menyukarkan guru membuat intervensi jika murid tidak mencapai tahap penguasaan yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata, sistem TP di Malaysia tidak dilaksanakan di mana-mana negara lain, termasuk negara maju.
Othman hairan kenapa pegawai kanan di KPM tidak melihat cara penilaian dan pengisian TP yang berulang sebagai sesuatu yang tidak realistik dan menjadi beban kepada guru.