Imej hiasan |
Peperiksaan awam di Malaysia mula diadakan sejak 200 tahun lalu bila Penang Free School ditubuhkan pada 21 Oktober 1816.
Istilah peperiksaan awam di negara ini datangnya dari sistem pendidikan barat khususnya England. Sebelumnya tidak ada istilah peperiksaan awam yang formal dalam sistem pendidikan Pondok.
Bila sudah lebih 200 tahun kita amalkan peperiksaan awam secara formal yang diambil bulat-bulat dari model pendidikan Barat, tentulah tidak mudah dikikis tradisi ini.
Setelah lebih 200 tahun dan sudah bergenerasi masyarakat negara ini mengamalkan peperiksaan awam, mengantikan dengan pentaksiran yang holistik dan berterusan melalui PBD pasti mengelirukan dan menyesakkan dada ibu bapa.
Lebih-lebih lagi bila pihak KPM secara tergesa-gesa memutuskan untuk mansuhkan peperiksaan awam UPSR dan PT3 dan laksanakan pentaksiran berterusan seperti PBD. Ibubapa pasti sukar memahami apa itu PBD yang akan mengantikan UPSR dan PT3.
Apakah kesilapan KPM?
Pertama, KPM jelas kurang bersedia dengan maklumat yg mudah, logik dan mesra ibubapa untuk menjelaskan apa dan mengapa PBD diperlukan untuk mentaksir pembelajaran anak-anak mereka.
Tiba-tiba sahaja KPM mansuhkan UPSR Dan PT3 dan dilaksanakan PBD secara keseluruhannya. Sepatutnya dilakukan pelaksanaan PBD secara berfasa.
Misalnya, lebih teratur memulakan pelaksanaan PBD di tahun 1 dan tahun 4 sekolah rendah mulai tahun 2022 dan umumkan pemansuhkan UPSR mulai tahun 2024.
Di sekolah menengah, mulakan PBD di tingkatan satu pada tahun 2022, dan umumkan pemansuhan PT3 mulai tahun 2024.
Sekarang ibubapa mengeluh, keliru dan ramai yang menolak PBD kerana mereka tidak nampak dengan jelas apakah kebaikan yang akan di bawa oleh PBD berbanding PT3. Bukannya sebab PBD ini tidak bagus.
Kedua, didapati berlakunya keadaan tidak teratur bila perancangan perubahan PT3 dan UPSR kepada PBS-PBD tidak melibatkan perubahan struktur silibus dan amalan pengajaran dan pembelajaran (pedagogi).
Guru yang ada sekarang dilatih bagaimana untuk membuat pengajaran bagi tujuan penilaian secara peperiksaan awam. Mereka tidak dilatih sepenuhnya berkaitan pengajaran dan pembelajaran penilaian berterusan yang selari dengan matlamat pelaksanaan PBD.
Struktur kurikulum, DSKP, buku teks, bahan pengajaran hinggalah kepada struktur bilik darjah semuanya masih dalam format untuk menghadapi peperiksaan awam.
Kemahiran menilai dan kemahiran mengajar berkait rapat tetapi tidak sama antara satu sama lain. Misalnya, PBD ada konsep 'assesment of learning', 'assesment as learning' dan 'assesment for learning'. Ketiga-tiganya sama penting dalam pelaksanaan PBD.
Amalan pedagogi kebanyakan guru sekarang lebih cenderung dan sesuai dengan peperiksaan awam. Tradisi pedagogi untuk peperiksaan ini masih tekal dalam diri guru.
Itulah latihan keguruan yang telah mereka terima dulu di IPG, IPTA dan Maktab Perguruan. Sebab itu wujud mantra ' kalau tak ada UPSR, murid tak akan belajar'.
Fokus guru sekarang masih peperiksaan bukan pembelajaran. Pembelajaran hanyalah 'alat' untuk peperiksaan. Sedangkan di dalam pelaksanaan PBD, pembelajaran itulah fokus utama pendidikan. Apa yang murid-murid lakukan, sebutkan, tunjukkan setiap hari di dalam kelas itu penting pada PBD.
Tetapi jika bilangan murid di dalam bilik darjah terlalu ramai, sukar untuk dilaksanakan PBD secara berkesan.
Jika mahu, masih boleh dilaksanakan PBD dalam kelas yang ramai murid tetapi tahap keberkesanan dan kebolehpercayaan pentaksiran PBD tentunya rendah.
Lebih malang, ia mungkin tidak berjaya mengukur keupayaan sebenar murid-murid.
PBD tidak sesuai dengan jumlah murid
Terus terang, dengan apa yang kita ada sekarang saya kurang yakin PBD akan berjaya seperti yang direncanakan jika struktur dan amalan PdPc sama sahaja seperti sebelum pemansuhan UPSR dan PT3.
Saya tidak yakin PBD akan berjaya jika bilangan murid masih terlalu ramai di dalam kelas dan amalan pedagogi masih berorientasikan pada menjawab soalan peperiksaan dan aktiviti hafalan.
Saya bimbang PBD akan gagal jika kita tidak mementingkan pembelajaran bermakna yang berasaskan aktiviti yang menyeronokkan murid-murid dan guru.
Kegagalan PBD (jika berlaku) bukanlah kerana kelemahan pelaksanaan para guru, tetapi disebabkan kegagalan KPM membuat persiapan yang rapi dan teratur sebelum memansuhkan UPSR dan PT3.
Itu pandangan peribadi saya.
Dr Anuar Ahmad
Pakar Pendidik,
Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti,
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)