CUEPACS setuju cadangan pelaksanaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) penjawat awam


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) setuju dengan cadangan supaya kerajaan melaksanakan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) untuk penjawat awam susulan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, kini sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan inisiatif untuk memberi manfaat kepada penjawat awam yang telah dijanjikan oleh pemerintah empat tahun lalu.

“Walaupun kini sudah tahun 2022 yakni masuk empat tahun pengumuman berkenaan dibuat, tetapi (KGT) masih belum dilaksanakan.

“Penjawat awam masih lagi menunggu dan terngiang-ngiang akan pengumuman tersebut. Bilakah pelaksanaannya akan dilakukan oleh kerajaan?

“Bagi penjawat awam, majikan kami adalah kerajaan. Apabila diumumkan (KGT) oleh kerajaan, maknanya majikan tetap perlu melaksanakannya tidak kira sama ada kerajaan itu berubah atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjanjikan tiga inisiatif kepada penjawat awam semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-16 pada 4 April 2018.

Katanya, ia termasuk tambahan satu KGT mulai Julai 2018, Kenaikan Pangkat Secara Khas Untuk Penyandang (KUP) dan gaji tambahan gred perjawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG56.

Bagaimanapun, ujarnya, ketiga-tiga pengumuman itu telah pun diabaikan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih kerajaan pada 9 Mei 2018.

“Maka dengan itu, penjawat awam telah terlepas satu bentuk kebajikan atau penambahbaikan baharu yang diumumkan kerajaan sedangkan itulah pengumuman serta pelaksanaan yang paling ditunggu-tunggu,” katanya.

Beliau turut berharap agar pelaksanaan itu nanti dapat membantu meringankan beban penjawat awam yang kini berdepan situasi kenaikan harga barang.

“Kami mendapati harga barang akan naik dalam tempoh tiga bulan akan datang dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami khususnya golongan B40 dan M40.

“Keperluan untuk membeli perkara-perkara asas yang biasa dibeli setiap bulan telah meningkat kepada RM148 susulan kenaikan mendadak harga makanan asas.

“Ini bermakna kami perlu ada tambahan wang untuk menyediakan kemudahan dan pemakanan asas untuk keluarga.

“Justeru, kami berharap agar pengumuman yang telah dibuat boleh dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan KGT sebenarnya bukanlah satu pelaksanaan yang tidak relevan pada hari ini kerana penjawat awam sendiri bertindak sebagai pemudah cara antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan negara kembali pulih selepas pandemik Covid-19.

“Penjawat awam adalah barisan hadapan keseluruhannya untuk memastikan negara ini terus pulih dalam sektor ekonomi," katanya.
Previous Post Next Post