Dari kiri, Nur Qamarina dan Nur Adeela ketika ditemui wartawan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Keputusan peperiksaan Nur Adeela tertera gred T) |
PETALING JAYA - Dua pelajar yang hadir menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 mempersoalkan tindakan Lembaga Peperiksaan (LP) yang memberikan gred T iaitu tidak hadir di dalam keputusan bahasa Melayu mereka meskipun hadir menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran terbabit.
Mereka yang merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 1 mengakui kesal dengan tindakan tersebut dan berharap agar tindakan susulan dapat dilakukan segera bagi memudahkan proses permohonan ke universiti.
Mangsa, Nur Adeela Huda Muhammad Azmil berkata, sekiranya kertas peperiksaan tersebut hilang dan menjejaskan gred peperiksaannya, tindakan lanjut iaitu saman terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dilakukan.
“Kami penat-penat belajar, duduk untuk peperiksaan. Kemudian apabila keluar keputusan, tiba-tiba dapat T. Saya rasa sangat sedih dan kecewa ketika itu.
"Bila saya dapat keputusan, saya susah nak memberi reaksi. Saya terus lapor kepada cikgu dan dimaklumkan bahawa bukan saya sahaja yang kena. Kemudian saya pergi pejabat, mereka ajar buat laporan secara dalam talian.
“Kalau saya tidak dapat kertas saya balik, tidak dapat nak mohon mana-mana universiti kerana bahasa Melayu subjek yang wajib untuk lulus," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Nur Adeela berkata, sekiranya kes berkenaan selesai secara baik, tiada sebarang tindakan susulan diambil terhadap pihak tersebut.
"Semakan semula telah dilaksana namun masih tiada sebarang respon yang diberikan terhadap perkara tersebut.
“Mereka buka (sistem semakan) dalam tempoh dua minggu. Lepas tempoh tamat, baru mereka lihat apa aduan kita. Saya harap dapat disegerakan,” rayunya.
Selain itu, mangsa lain, Nur Qamarina Munirah Mustaqim mendakwa, sistem yang digunakan untuk menanda kertas peperiksaan SPM kini antara penyebab kejadian tersebut berlaku.
“Sekarang ini semua dalam talian. Kalau sebelum ini penanda dapat kertas. Jadi melalui cara ini, saya rasa semasa mahu masukkan markah, kertas kami tercicir.
"Saya tidak rasa yang salah ini dari pihak sekolah kami, tetapi dari Lembaga Peperiksaan. Saya harap rayuan ini tidak lambat sebab takut tidak sempat untuk mohon UPU. Difahamkan UPU akan tutup pada 28 Jun ini,” katanya.
Nur Qamarina turut mengharapkan agar kejadian yang menimpa dia dan rakan tidak berlaku kepada orang lain kelak.
Sementara itu, Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas dari pihak berkenaan berhubung perkara tersebut.