Berapa jumlah duit belanja makan murid di kantin sepatutnya

MEMPERKASAKAN Skim Rancangan Makanan Tambahan dengan menilai kembali kelayakan penerima membantu pelajar. - gambar hiasan


Pengoperasian semua kantin sekolah selepas sekian lama tergendala tidak hanya memberikan kelegaan kepada pengusaha kantin tetapi ibarat satu kegembiraan buat pelajar terutama murid darjah satu. 

Maklumlah, ini adalah tahun pertama mereka bersekolah dan merasa untuk membeli makanan sendiri di kantin sekolah. 

Ibu bapa juga terutama yang tidak sempat untuk menyiapkan bekal sekolah anak juga boleh merasa lega dan hanya memberikan anak-anak duit belanja sekolah. 

Namun persoalannya sekarang, berapa jumlah wang belanja yang sepatutnya dibekalkan kepada anak? 

Ini kerana, walaupun diberikan wang belanja ada anak yang masih meminta untuk membawa bekal atau membeli makanan di luar sebelum sampai ke sekolah. 

Jika dikatakan harga makanan di kantin mahal, mereka terikat dengan pemantauan harga makanan yang ditetapkan pihak kementerian? 

Pekerja swasta, Wan Norasyikin Baharudin, 36, berkata, biasanya dia akan memberi anaknya wang belanja sebanyak RM5 sehari beserta bekal makanan yang dibeli sebelum ke sekolah. 

Menurutnya yang juga ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, sesi persekolahan anaknya berbeza sedikit dengan orang lain kerana waktu persekolahannya lebih panjang iaitu sehingga 3.30 dan mempunyai dua kali waktu rehat. 

"Alhamdulillah, buat masa ini dengan wang belanja RM5 itu, belanjanya cukup tapi perlu membawa bekal. Kalau tidak bawa bekal, jumlah itu tidak mencukupi. 

"Anak tidak pernah mengadu duit belanja tidak cukup dan biasanya akan ada baki lagi yang akan disimpan sebagai wang tambahan apabila ada aktiviti kokurikulum," katanya. 

Mengulas mengenai harga makanan yang dikatakan mahal, kata Wan Norasyikin, jika ada kenaikan pun baginya ia adalah tidak banyak dan masih tidak membebankan pelajar. 

"Sebagai pengusaha kantin sekolah, pastinya mereka tidak akan mengenangkan harga yang tinggi kerana mereka juga perlu mengikuti peraturan dan penetapan harga yang di tetapkan Kementerian Pendidikan selain dipantau pihak sekolah. 

"Oleh itu, bagi saya RM5 itu, ia mencukupi untuk belanja anaknya. Tapi kalau tanpa bekal, ia memang tak cukup kerana waktu persekolahan anak sehingga jam 3.30 petang. 

"Tetapi kalau sekolah biasa yang sesi persekolahannya sehingga 12.30 tengahari atau 1.30 tengahari, RM5 itu sangat mencukupi atau mungkin berlebihan," katanya. 

Sementara itu, ibu kepada empat cahaya mata, Siti Mariam Tajudin, 39, berkata, jumlah wang belanja sekolah anak tidak perlulah mengikut kehendak anak sangat sebenarnya. 

Menurutnya, kalau diikutkan kehendak mereka RM10 sehari untuk pelajar sekolah rendah pun tidak akan cukup. 

"Sebagai ibu bapa, kita boleh saja memberikan mereka wang belanja yang bersesuaian dengan makanan yang ingin mereka beli. 

"Kalau diikutkan sangat kemahuan anak-anak, bagi berapa banyak pun pasti saja tidak cukup terutama anak-anak darjah satu yang baru merasa untuk membeli di kantin," katanya. 

Menurutnya, kebiasaannya anak-anak ini tidak teruja sangat membeli makanan menggunakan wang belanja yang diberikan tetapi lebih kepada membeli di koperasi sekolah atau berbelanja selepas waktu sekolah. 
HARGA yang ditawarkan pengusaha kantin masih dalam kawalan.- gambar hiasan 

"Jadi, pada saya, berikan saja anak-anak duit belanja yang cukup untuk membeli makanan yang mereka akan makan. 

"Bukan tidak sayang anak atau mahu anak kelaparan, tetapi ia sebagai langkah melatih mereka berbelanja secara berhemah," katanya. 

Pengusaha kantin, Mohd Zaidi Johar berkata, ada segelintir ibu bapa beranggapan pihak kantin menetapkan harga yang tinggi untuk makanan sekali gus dikatakan menyebabkan duit belanja yang diberikan kepada anak tidak mencukupi. 

Katanya, kenaikan harga barang menuntutnya menaikkan sedikit harga makanan. 

Justeru, jika membabitkan belanja sekolah, minimum RM5 itu adalah jumlah mencukupi terutama untuk murid sekolah rendah. 

MURID tahun satu Sekolah Kebangsaan Padang Setengge, Hulu Terengganu, Terengganu menjamu selera dalam kelas ketika sesi persekolahan berlangsung sebelum fasa endemik selepas negara menerima ancaman Covid-19, kebanyakan ibu bapa ketika itu mempunyai masa menyediakan makanan untuk anak mereka. 

"Dalam keadaan kini, sebagai pengusaha kantin kami juga sedikit terkesan akibat kenaikan harga barangan bukan saja ayam tetapi barangan lain juga. 

"Jadi, untuk mengimbangi kos operasi dan kami terpaksa menaikkan harga makanan tetapi kenaikan itu tidaklah banyak. Sebagai contoh, jika dulu harga bihun atau nasi lemak biasa di jual pada harga RM1 kini perlu dinaikkan kepada RM1.50 kerana kenaikan harga barang. 

"Tetapi jika pelajar mengambil makanan berlauk terutama ayam, harga makanan itu boleh mencecah RM2.50 hingga RM3 untuk satu hidangan. Harga makanan juga dipantau pihak sekolah. 

"Di harap semua pihak terutama ibu bapa sama-sama memahami keadaan semasa hari ini," katanya. 

Ditanya mengenai wang belanja yang sepatutnya dibawa murid ke sekolah, pendapat Mohd Zaidi, ia bergantung kepada keadaan sekolah itu. 

Menurutnya, waktu pembelajaran di sekolahnya berbeza dengan sekolah lain kerana sesi persekolahan akan tamat pada 3.30 petang dan mempunyai dua kali waktu rehat. 

Pelajar juga katanya, dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu mereka yang mengambil pakej makanan berbayar dan yang tidak mengambil pakej makanan. 

"Bagi yang mengambil pakej makanan, mereka hanya akan membeli makanan ketika rehat pertama iaitu pada seblah pagi dan makan makanan yang disediakan pada rehat kedua. Bagi yang tak ambil pakej mereka akan membeli makanan pada kedua-dua sesi rehat. 

"Tetapi, kebanyakan murid ini akan membeli lagi selepas habis sesi persekolahan tamat. Air atau makanan ringan seperti biskut dan kuih akan menjadi pilihan mereka. 

DR Mohd Khairie 

"Justeru, bagi saya jika anak membawa wang sebanyak RM5 itu sudah cukup," katanya. 

Oleh itu, menurut Mohd Zaidi dia berharap masyarakat terutama ibu bapa memahami situasi yang dialami sekarang. 

"Kami pengusaha kantin pun berat untuk menaikkan harga walaupun hanya RM0.50, kasihan juga dengan budak tetapi jika tiada kenaikan dilakukan, kos operasi kami akan lebih tinggi," katanya. 

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok, Kedah Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, makanan sangat penting kepada anak-anak kerana ia membantu dari segi proses pembelajaran. 

Justeru katanya, antara langkah kerajaan terutama Kementerian Pendidikan yang boleh membantu adalah dengan memperkasakan lagi Skim Rancangan Makanan Tambahan dengan menilai kembali kelayakan penerima. 

"Jika anak-anak tidak makan, merasa lapar ketika di dalam kelas atau makanan tidak cukup zat, ia akan menjejaskan dari segi kemampuan mereka untuk belajar. 

"Jadi, saya melihat pihak kementerian perlu menyemak semula dari segi had gaji kelayakan supaya lebih ramai lagi anak-anak dari keluarga yang amat memerlukan dapat bantuan itu. 

"Sebagai contoh, jika sebelum ini had pendapatan keluarga adalah RM1,500 mungkin kementerian boleh menaikkan lagi had gaji itu dan melihat juga jumlah tanggungan mereka terutama yang berada di bandar," katanya. 

Selain itu, cara kedua adalah kementerian boleh melaksanakan subsidi tambahan kepada pengusaha kantin di sekolah-sekolah tertentu. 

"Dengan penyediaan subsidi tambahan kepada pengusaha kantin terutama dalam keadaan harga barangan yang semakin ini, harga makanan di sekolah boleh dikawal," katanya. 

Mengulas mengenai duit belanja pelajar, ia agak subjektif dan bergantung kepada keadaan terutama bagi mereka yang berada di dalam dan luar bandar. 

"Secara umumnya dari pemerhatian saya sendiri ramai ibu bapa memberikan duit belanja yang kadang kala agak berlebihan. 

"Dari pemantauan saya sendiri, RM2 sudah mencukupi untuk membeli makanan dan satu hidangan yang sudah cukup mengenyangkan mereka. 

"RM5 adalah wang belanja sekolah yang tinggi dan mewah terutama di Kedah. Namun, seperti yang saya katakan tadi, perkara ini adalah subjektif dan mengikut kepada lokasi," katanya.

 

Previous Post Next Post