GEORGE TOWN: Remaja, Ain Husniza Saiful Nizam dan bapanya membantah tindakan peguam kerajaan mewakili dua individu yang disaman dan saman balas atas kapasiti peribadi, yang disifatkan sebagai langsung tidak boleh diterima.
Ia susulan, peguam kanan persekutuan mempertahankan guru Ain dan bekas pengetua sekolah yang dinamakan sebagai defendan dalam samannya.
Dalam affidavit, Ain dan bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab, berkata ada “tidak wajar” dan janggal bagi peguam kanan persekutuan mewakili defendan terbabit ketika kedua-duanya disaman atas kapasiti peribadi.
Kata mereka, sebelum peguam kerajaan ingin mewakili penjawat awam atas kapasiti peribadi, Pejabat Peguam Negara mestilah terlebih dulu mengeluarkan sijil membenarkan tindakan itu dilakukan, namun ia tidak dibuat dalam kes ini.
Katanya, tindakan peguam kanan persekutuan mewakili bekas guru besar adalah salah, memandangkan wanita itu bukan lagi penjawat awam ketika saman itu difailkan.
Peguam SN Nair, yang menghantar pernyataan bagi pihak Ain dan bapanya, mengesahkan afidavit difailkan di Mahkamah Sesyen Klang, baru-baru ini.
“Campur tangan sukarela dibuat kerajaan bagi mempertahankan guru dan guru besar berkenaan yang disaman atas kapasiti peribadi disifatkan sebagai sangat keterlaluan dan tidak dapat difahami.
“Terutamanya, selepas guru terbabit memulakan tindakan saman peribadi terhadap Ain, kanak-kanak di bawah umur dan bapanya. Bagaimana wang awam dibelanjakan untuk mempertahankan saman peribadi?” katanya kepada FMT.
Khairul Nizam Sanuddin, 43, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam, menyaman Ain dan bapanya susulan membuat kenyataan memfitnah dirinya di media sosial dan wawancara bersama wartawan.
Ain dan bapanya, kemudian memfailkan saman balas terhadap Khairul dan menamakan bekas pengetua, Sarimah Mohammed Nor, Pengarah Pendidikan Selangor Anismah M Noh, Menteri Pendidikan Radzi Jidin dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.
Saman balas terhadap kesemua mereka, antara lain, kerana sengaja melakukan kesalahan dengan menimbulkan tekanan emosi berhubung jenaka rogol yang didakwa dilakukan dalam kelas pendidikan jasmani, di sekolah dan selepas itu.