10 lelaki didenda RM1,000 gagal isytihar wang RM3.1 juta milik guru dalam akaun masing-masing


AMPANG – Seramai 10 lelaki didenda RM1,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal memberi penjelasan mengenai wang dalam akaun bank masing-masing melibatkan lebih RM3.144 juta. 

Pengakuan itu dibuat selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurmaiza Rahim hari ini. 

Denda maksimum itu dikenakan ke atas kontraktor, Mohamad Saifuddin Ismail, pemandu lori, Mohammad Anas Kamarudin, pengawal keselamatan, Muhammad Ariff Ahmad Tajuddin, juruteknik, Muhamad Helmi Ahmad dan nelayan, Mohd Syukur Maula Muhamad Desa. 

10 individu dibawa anggota polis untuk didakwa atas kesalahan membabitkan ‘Macau Scam’ dengan jumlah kerugian RM 7.3 juta di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JUN 2022.

Turut dikenakan hukuman sama ialah pengawal keselamatan, Mohd Hafiz Khamis, peniaga, Muhammad Ikhwan Iswandy Ramli, pekerja sendiri, Mohd Nizam Mat Jasat, penyelia tapak pembinaan, Khairul Mizan Mohamad Johari dan kontraktor, Vikneswaran Shahmugam. 

Mahkamah turut memerintah kesemua 10 tertuduh yang berusia antara 29 hingga 51 tahun untuk menjalani hukuman tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda tersebut. 

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua lelaki itu tidak dapat memberikan penjelasan memuaskan bagaimana memperoleh sejumlah wang milik seorang guru swasta berusia 31 tahun antara RM40,000 hingga RM2.3 juta di dua bank di Ampang antara 20 Februari hingga 2 April lalu. 

Kesemua mereka melakukan satu kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali. 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin mencadangkan kesemua tertuduh diberi hukuman berbentuk pencegahan iaitu denda sehingga RM1,000 dan penjara sehingga satu tahun. 

Ini kerana mengambilkira faktor kepentingan awam mengatasi tertuduh, kekerapan transaksi wang ke dalam akaun tertuduh serta setiap individu perlu bertangungjawab untuk menjaga kad serta mengambil tahu transaksi keluar dan masuk bank masing-masing melibatkan jumlah yang besar. 

Bagaimanapun peguam, Mohd Hafiz Fahmy Abdul Razak memohon mahkamah agar kesemua anak guamnya dikenakan hukuman denda sahaja dan tidak dipenjarakan kerana kesemua tertuduh mempunyai pendapatan rendah dan menjadi mangsa keadaan serta tidak mendapat manfaat daripada aktiviti Macau Scam. 

Setelah mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membenarkan kesemua 10 tertuduh didenda RM1,000 dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette

 

Previous Post Next Post