UPSR, PT3 dijenamakan semula?

Imej hiasan

PETALING JAYA: Pentaksiran Ting­katan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) heboh diperkatakan akan dikembalikan semula dengan diberi je­nama baharu. 

Selain tular dalam media sosial, topik perbualan perkara itu turut menjadi cakap-cakap dalam portal-portal pendidikan di Facebook yang dipercayai dianggotai guru-guru kanan serta pembuat dasar yang memba­yangkan perkara itu akan di­umumkan dalam masa terdekat. 

Kementerian Pendidikan memansuhkan UPSR bermula tahun lalu berikutan kekangan pembelajaran ekoran pandemik Covid-19. Peperiksaan PT3 pula dibatalkan sejak dua tahun lalu atas sebab yang sama dan statusnya masih tergantung sehingga sekarang.

Namun, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik menyifatkan langkah mengembalikan semula kedua-dua peperiksaan itu dalam waktu terdekat ini dianggap terlalu awal. 

Katanya, ini kerana Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang sedang dilaksanakan sekarang masih baharu dan belum nampak sama ada ia berjaya dan mencapai matlamatnya atau gagal. 

“Sebenarnya terlalu awal nak melihat semula (kembalikan UPSR dan PT3), dahulu kita buat Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan sekarang buat PBD berterusan (dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah), maknanya masih awal untuk kita membuat penilaian kegagalan. 

"Kita di Malaysia (sebelum ini) tumpu kepada peperiksaan yang akhirnya memberi tekanan kepada pelajar, jadi PBD ketika ini sangat bagus untuk melihat perkembangan pelajar dengan lebih baik. 

“Bagi saya tak nampak (ada keperluan) perlunya UPSR dan PT3 dikembalikan. Sebaliknya teruskan (dasar serta polisi) sekarang ini dengan buat sehabis baik, insya-Allah dapat lihat perkembangan pelajar," katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, Jasni berkata, semua pihak terutama guru akan mematuhi dasar dan polisi sedia ada berikutan keputusan kerajaan mengenai perkara itu telah mengambil kira penelitian dan kajian tentangnya. 

Katanya, sebarang kelompongan yang terhadap polisi sedia ada perlu dibaiki bagi terus melihat perkembangan potensi pelajar secara berterusan, berbanding membuat sebarang andaian mengelirukan. 

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan adanya faktor tertentu sekiranya kedua-dua peperiksaan itu diwujudkan kembali, namun, kementerian perlu memberi justifikasi kenapa keputusanitu diambil. 

Katanya, tindakan itu seolah-olah tidak konsisten dengan keputusan yang diambil sebelum ini kerana sebarang pemansuhan dan pembatalan itu sudah tentu mengambil kira pandangan pelbagai pihak. 

"Apabila kembalikan UPSR itu, maksudnya guru-guru terpaksa kembali kepada kaedah lama, sedangkan keputusan UPSR itu dimansuhkan adalah untuk melihat kemenjadian murid dari segi bakat, potensi dan minat, bukannya membanding perbezaan pencapaian akademik. 

"Namun bagi saya, setakat ini tiada hitam putih dengan sebarang pekeliling belum dikeluarkan, jadi kita tunggu saja (sebarang pemakluman)," jelasnya.

 

Previous Post Next Post