Tidak sempurna fizikal bukan alasan tidak cemerlang sebagai guru

[MUKADIMAH] Meskipun dilahirkan tidak sempurna seperti orang lain, namun tiada alasan bagi guru-guru istimewa atau orang kurang upaya (OKU) untuk tidak menjalankan tanggungjawab sebaiknya sebagaimana guru normal yang lain.

Kegigihan dan kesungguhan itu dapat dilihat dengan pelbagai kejayaan dan pengiktirafan yang diterima guru-guru yang berstatus OKU.

Justeru, siapapun atau bagaimanapun seseorang guru itu, ia bukan alasan untuk warga pendidik tidak dihormati atau disanjungi kerana pengorbanan serta jasa mereka tidak terbalas.
Khatijah berdiri di atas kerusi ketika mengajar anak muridnya - Sinar Harian


Kekurangan fizikal yang dialami sejak lahir bukan penghalang buat Khatijah Abu Samah, 46, untuk mendidik anak bangsa.

Biarpun bergelar OKU fizikal, guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar itu, tetap bersemangat untuk berkhidmat sebagai pendidik dan pernah dianugerahkan Guru Cemerlang OKU Peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2016.

Mengakui keadaan fizikal yang rendah menjadi cabaran utama buatnya sepanjang 18 tahun bergelar guru apabila terpaksa berjalan jauh.

“Jadi pelbagai teknik saya gunakan bagi mengajar termasuk memanjat kerusi untuk menulis di papan putih. Pelajar pun faham apabila ada yang sudah sediakan kerusi siap-siap.

“Kadang-kadang saya mengajar secara berkumpulan dan menggunakan komputer. Jadi tak pernah ada masalah untuk saya sampaikan ilmu kepada anak murid,” katanya.

Khatijah juga mengakui bernasib baik kerana pihak pentadbiran sekolah sangat memahami dan setakat ini, kelas yang terlibat dengan dirinya berada di tingkat bawah.

Ujarnya, sudah 10 tahun menabur bakti di PPKI SK Taman Tuanku Jaafar yang mempunyai seramai 55 pelajar OKU.

“Mana-mana pekerjaan ada cabaran, cuma tugas guru ialah mendidik dan saya berstatus OKU,” katanya.
Mohd Huzaire sentiasa mengambil pendekatan kreatif bagi mewujudkan suasana ceria untuk menarik tumpuan murid terhadap kelasnya.

Mohd Huzaire buktikan OKU mampu jadi guru cemerlang

Tragedi terjatuh dari pohon rambutan setinggi dua meter pada Ramadan, tahun 1999 telah mengubah takdir hidup seorang guru yang kini bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempaga 2 di sini.

Dek kerana peristiwa itu, Mohd Huzaire Ahmad, 46, anak kelahiran Kampung Mempateh, Lanchang, Temerloh disahkan lumpuh dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda.

Mohd Huzairie mengakui kehadirannya di Sekolah Kebangsaan Jabor, Kuantan pada tahun 2002, seperti satu ‘kejutan’ buat rakan setugas dan murid yang seolah-olah kurang yakin dengan kemampuannya untuk mengajar dalam keadaan berkerusi roda.

“Namun saya lawan dan jadikannya sebagai motivasi untuk buktikan bahawa kekurangan ini bukan halangan untuk menjadi guru yang baik,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurutnya, pada tahun 2005, dia mohon bertukar dan ditempatkan di SK Felda Mempaga 2, Bentong dan bertugas sebagai guru muzik.

“Alhamdulillah sepanjang di sekolah ini, nasib saya sebagai guru OKU mendapat perhatian pihak pentadbir dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP),” ujar beliau

Sepanjang berkhidmat sebagai guru, beberapa penghargaan diterima antaranya Anugerah Khas Hari Guru 2005; Anugerah Guru Inovatif Negeri Pahang 2009 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidikan 2008 dan 2018;

Selain itu, Anugerah Tokoh OKU Cemerlang negeri Pahang 2018, Anugerah Guru OKU Cemerlang Kebangsaan 2010 dan Anugerah Guru Kreatif ‘KAF’ Felda 2020.

Penerima Anugerah Khas sempena Majlis Konvokesyen IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis 2015 itu juga pernah dilantik sebagai Duta Guru Nadi Negara 2019 dan Duta Guru Pewaris Negara 2021.

Beliau juga tercalon untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2022.

Mohd Huzaire kini menyambung pengajian peringkat sarjana di Open University Malaysia (OUM) dan majlis konvokesyennya dijangka berlangsung pada 1 Oktober nanti di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Sadiah (tengah) menggunakan kerusi roda mendidik murid di SK Masai

Berkerusi roda tidak halang Saadiah curah ilmu

Biarpun berkerusi roda akibat menghidap penyakit pada kedua-dua belah kakinya, Saadiah Ahmad tetap bersemangat mengajar demi anak bangsa.

Saadiah, 59, yang merupakan guru Pendidikan Moral di Sekolah Kebangsaan (SK) Masai, Pasir Gudang di sini, tidak pernah menjadikan status diri penghalang untuk terus berbakti mencurah ilmu.

Beliau yang tidak mampu berdiri sejak tiga tahun lalu, sebenarnya sudah 37 tahun berkhidmat sebagai guru subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, selain pernah menggalas tanggungjawab sebagai Guru Penolong Kanan 1.

“Saya mengajar di SK Masai sejak tahun 2019. Sebelum itu, saya pernah mengajar di SK Kangkar Tebrau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Gadong, Klang Selangor, SK Seri Alam 2 dan SK Kota Masai.

“Kaki yang membengkak sejak tiga tahun lalu, telah membataskan pergerakan saya. Saya perlu ulang-alik ke hospital untuk menerima rawatan dan melakukan terapi,” katanya.

Graduan Maktab Institusi Perguruan Darul Aman Kedah itu, mengakui mengajar menggunakan kerusi roda ada cabarannya terutama untuk bergerak di kawasan sekolah dan bilik darjah.

Namun, semua itu dipermudahkan dengan bantuan rakan-rakan guru yang tidak pernah lekang membantu termasuk menolak kerusi roda Saadiah.

“Guru Besar SK Masai 1, Azian Zainul Abidin memberi kemudahan kepada saya untuk mengajar di kelas tingkat bawah. Ia sangat membantu kerana saya tidak perlu naik tangga untuk ke kelas terutama di tingkat atas.

Di sebalik kepayahan dihadapinya, Saadiah berbangga apabila bekas anak muridnya berjaya menjadi guru dan mengajar di SK Masai.

“Seronok bila tengok bekas murid berjaya, secara tidak langsung semangat untuk mengajar terus berkobar-kobar,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
Previous Post Next Post