'Tanpa syarat yang jelas, pertukaran guru tanpa kawalan boleh jejaskan perancangan sekolah'


PUTRAJAYA: Tindakan pengetua atau guru besar (PGB) menyokong atau tidak sesuatu permohonan pertukaran seseorang guru kerana pada dasarnya ia masih boleh dilangkau Kementerian Pendidikan (KPM).

Mantan Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Sukimin Juki, berkata ia berikutan PGB tidak mempunyai kuasa mutlak dalam hal berkaitan ini.

Katanya, ia terbukti dalam beberapa kes apabila PGB tidak menyokong namun permohonan pertukaran terbabit masih diluluskan KPM.

Pun begitu, beliau percaya, sokongan PGB hanya menjadi antara asas pertimbangan untuk kelulusan permohonan yang dikemukakan.

"Pada kebiasaannya PGB akan mendapatkan input daripada rakan pentadbir sekolah mereka sebelum menentukan sama ada menyokong atau tidak.

"Faktor-faktor seperti kes tatatertib, pengesahan jawatan, keperluan kritikal biasanya akan menjadi input penting yang diperlukan. Selepas disepakati di peringkat pengurusan baharulah PGB menanda butang Sokong atau Tidak Sokong dalam aplikasi e-GTukar.

"Secara profesionalnya, ia bukan dibuat untuk kepentingan peribadi, sebaliknya kepentingan pelajar diutamakan terlebih dahulu," katanya kepada BH.

Namun, beliau berkata, sebagai manusia biasa, tidak mustahil ada kes-kes terpencil yang melangkaui pertimbangan profesional.

Pada masa sama, Sukimin berkata, berlaku juga kes pertukaran di luar musim, kebiasaannya membabitkan isu keselamatan dan kesihatan yang kritikal.

Sukimin berkata, sebelum ini KPM menetapkan dua kali tempoh pertukaran iaitu pada Jun dan akhir tahun.

Ditanya berkaitan penambahan kekerapan proses pertukaran dari dua kali setahun kepada empat kali setahun, beliau menyatakan rasa kurang setuju dengan keputusan itu.

Menurut beliau, sebaik-baik perjalanan pengurusan sekolah ialah dengan meminimumkan bilangan perubahan jadual waktu sekolah.

"Perubahan jadual waktu yang kerap akan memberi impak yang kurang baik kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

"Setiap kali jadual berubah, pasti akan ada perubahan guru yang mengajar sesuatu mata pelajaran atau kelas.

"Murid akan kurang selesa seandainya kerap berlaku pertukaran guru yang mengajar mereka. Ini terutamanya bagi Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) yang pada kebiasaannya sangat rapat dengan guru," katanya.

Beliau berkata, dengan kekerapan proses pertukaran guru ditambah kepada empat kali setahun juga memungkinkan kecenderungan motivasi guru untuk terjejas.

Katanya, setiap kali memohon, sedikit sebanyak mereka sudah pun meletakkan harapan yang tinggi dan jika permohonan itu gagal ia boleh menjejaskan motivasi untuk seseorang guru bekerja.

Sukimin berkata, semakin kerap motivasi guru terbabit terganggu, maka sudah pasti murid yang akan rugi.

"Sebaik-baiknya biarlah KPM menyatakan syarat-syarat permohonan dengan jelas dengan meletakkan kelancaran PdP dan kepentingan murid sebagai keutamaan. Ini akan dapat dijadikan panduan yang mudah difahami dan patuhi oleh semua pihak.

"Tanpa syarat yang jelas, dikhuatiri berlakunya terlalu banyak permohonan guru untuk bertukar. Jika ini berlaku pasti ia boleh mengganggu perancangan pihak sekolah untuk jangka panjang" katanya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, kelmarin mengumumkan, guru kini boleh membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun susulan garis panduan baharu dikeluarkan Kementerian Pendidikan bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975.

Permohonan pertukaran sekolah oleh guru juga kini tidak boleh dihalang guru besar atau pengetua yang sebelum ini mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan.

 

Previous Post Next Post