BACHOK: Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51 buat julung kalinya dalam sejarah diadakan di Kelantan.
Acara itu diadakan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Bachok, bertemakan "Guru Tunjang Sekolah Sejahtera", yang diraikan selepas dua tahun negara dalam pandemik COVID-19.
Dalam tempoh negara berada dalam pandemik COVID-19, pelbagai cabaran dilalui oleh guru dan persekitaran sekolah.
Antaranya Pengajaran dan Pembelajaran dari rumah PdPR, sesi persekolahan secara bergilir, kandungan pengajaran yang disesuaikan secara dalam talian yang menguji kecekalan murid dan juga pendidik.
Dalam ucapan perasmian sempena sambutan Hari Guru, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata Hari Guru kali ini menyentuh jiwanya kerana dalam tempoh dua tahun negara berada dalam tempoh amat sukar.
"Kami bertungkus-lumus, hampir 500,000 orang guru telah memainkan peranan mereka bagi memastikan dalam tempoh perit anak-anak dapat pendidikan di sebalik tekanan yang ada.
"Mustahil bagi saya memimpin dan mengendalikan lebih 10,000 sekolah serta lebih 5 juta murid tanpa bantuan dan jasa serta pengorbanan guru, terima kasih cikgu.
"Mengimbau sejarah, 10 Mac sekolah dibuka, April tiada penggiliran sesi persekolahan dan pada Mei kesemua murid kembali ke sekolah seperti sediakala sebelum COVID-19," katanya.
Jelasnya, pada 21 Februari lalu, Kementerian Pendidikan telah melancarkan konsep 'Sekolahku Sejahtera' untuk membawa anak didik memahami konsep dalam kehidupan.
"Apa yang kita tekankan ialah anak didik kita, apabila mereka keluar sekolah, elemen berkenaan dapat dijiwai oleh murid-murid dan dapat disesuaikan dalam kehidupan mereka diluar sana," katanya.
Jelasnya walaupun tempoh sukar selama dua tahun untuk pendidikan negara, KPM sentiasa menjaga kebajikan murid dan juga guru memudahkan pengoperasian bagi memastikan anak murid tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.
Sambutan Hari Guru yang diadakan di Bachok ini dihadiri oleh sebahagian warga pendidik dari seluruh negara.