KUALA LUMPUR: Persatuan bas sekolah memberi jaminan tidak akan membebankan ibu bapa berikutan tambang dijangka naik tidak lama lagi, kata Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat.
Beliau berkata, jumlah peningkatan tambang bas sekolah adalah tidak sama kerana nilainya berpandukan kawasan dan status masyarakat setempat setelah pada 1 Jan 2015 kerajaan sudah tidak mengawal tambang bas sekolah menyebabkan jumlahnya terpulang kepada pasaran.
“Untuk kenaikan tambang ini, pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada pengusaha yang biasanya semua itu bergantung terhadap kajian semula penyata untung rugi, juga kata sepakat operator bas sekolah bersama ibu bapa.
“Berdasarkan rekod yang kami ada, tambang bas sekolah pada masa ini adalah antara RM50 contohnya di Keramat, manakala bagi kawasan elit seperti Damansara dan Petaling Jaya boleh mencecah RM300 sebulan,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, media melaporkan berhubung ibu bapa perlu bersiap sedia dengan kenaikan tambang bas sekolah di sekitar Lembah Klang yang dijangka bermula minggu depan atau Julai berikutan kos penyelenggaraan serta alat ganti kenderaan meningkat secara mendadak.
Mengulas lanjut, Amali berkata kos kenaikan tambang itu melibatkan kiraan 44 kali pelajar naik bas dalam sebulan iaitu 22 hari maksimum dengan dua kali naik sehari dan mengikut kadar itu, ia dikira masih di tahap tambang yang masih rendah.
Pengusaha bas sekolah sekitar Damansara, Mohd Zaid Zainuddin, 50, berkata kenaikan tambang secara purata RM15 hingga RM25 sebulan boleh dipertimbangkan memandangkan sudah ramai pengusaha bas sekolah yang gulung tikar dan beralih ke industri pekerjaan lain.
“Setakat ini kami sudah memberikan gambaran awal kepada ibu bapa. Perbincangan mengenai kenaikan tambang juga dilakukan supaya mereka tidak terkejut dengan perubahan ini. Ada dalam kalangan mereka memahami serta bersetuju dengan usaha ini, cuma meminta supaya kadar kenaikan tidak terlalu ketara (cadangan RM10 hingga RM15 sahaja kenaikan),” katanya.
Sementara itu, bagi pengusaha van sekolah, Shahrul Aidit Ahmad, 48, yang menjalankan operasi mengambil anak sekolah menggunakan van di sekitar Kelana Jaya, Selangor, selama 20 tahun berkata tindakan itu wajar dilakukan berikutan kos penyelenggaraan dan servis kenderaan terlibat sudah meningkat berganda selepas pandemik baru-baru ini.
“Mahu atau tidak, pada masa ini kita berhadapan dengan semua barang naik harga termasuk juga kos penyelenggaraan bas dan alat ganti kenderaan import terutama selepas perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menurutnya pada masa sekarang, purata tambang adalah mengikut jarak dari rumah ke sekolah lebih kurang 2km hingga 3km dengan nilai RM50 untuk sehala bagi setiap bulan, dengan kata lain kira-kira RM100 sebulan bagi seorang pelajar untuk pergi dan balik.
Prihatin terhadap permasalahan tersebut, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan berkata kerajaan perlu mempunyai formulasi dengan langkah memberikan subsidi kepada pengusaha bas sekolah untuk mengurangkan impak ke atas kenaikan tambang dalam pelbagai aspek.
“Kaedah memberikan subsidi tersebut boleh dilakukan dengan pelbagai cara antaranya tuntutan boleh dibuat daripada kerajaan atau memberikan faedah lain seperti simpanan premium atau kredit dapat ditukar kepada perkara lain yang sesuai untuk kegunaan pengusaha bas sekolah,” katanya.
Kemelut kenaikan tambang bas sekolah juga mendapat perhatian Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Mohamad Ali Hasan yang mencadangkan kerajaan menetapkan harga siling supaya dapat memastikan jumlah kenaikan tambang tidak dibuat sesuka hati sehingga memberi bebanan kepada ibu bapa.
“Kerajaan juga perlulah memikirkan mengenai subsidi terhadap kenderaan yang digunakan terutama dalam kalangan pengguna tetap bas sekolah yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan isi rumah B40 dan M40,” katanya.