KUALA LUMPUR: Sebahagian besar kementerian dan agensi kerajaan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan rasmi, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.
Beliau berkata, dapatan berdasarkan hasil kaji selidik dijalankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu menunjukkan hampir semua kementerian atau agensi menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.
"Ini bermakna hanya sebahagian kecil agensi dan bahagian yang terbabit secara langsung dengan hal ehwal antarabangsa, tidak menggunakan bahasa Melayu. Misalnya, Kementerian Luar serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
"Bagaimanapun dalam konteks nasional, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyatakan komitmen beliau menggunakan bahasa Melayu secara rasmi untuk berucap pada persidangan antarabangsa, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan berlangsung hujung tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan berhubung Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad Ke-21 pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.
Pembentang lain ialah pakar bahasa negara, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim; wakil Indonesia, Prof Datuk Harun Joko Prayitno; dan Prof Dr Karl Alexandar Adelaar dari Australia.
Mohd Shafiq berkata, JPA mengalu-alukan komitmen dan hasrat Perdana Menteri untuk menjulang bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.
"Usaha berani beliau itu tepat pada masanya dengan usia kemerdekaan Malaysia yang sudah menjangkau 65 tahun. Pengukuhan kedudukan bahasa Melayu ini turut menyokong aspirasi Keluarga Malaysia yang menjadi agenda induk kerajaan," katanya.
Malah, beliau berkata, Wisma Putra juga mula menghantar surat rasmi ke negara luar dengan menggunakan bahasa Melayu berserta terjemahannya.
Menjelaskan lanjut, katanya, penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam sudah dikuatkuasakan melalui surat-menyurat, dokumen perjanjian, urusan mesyuarat dan penganjuran majlis rasmi.
"Pelaksanaan ini melalui beberapa fasa perubahan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Dalam perkhidmatan awam, penggunaan bahasa Melayu semakin bersifat fungsian.
"Komitmen perkhidmatan awam dalam memperkukuh penggunaan bahasa Melayu secara langsung meninggikan kedaulatan bahasa ini serta menyempurnakan aspirasi Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Shafiq berkata, antara cabaran dihadapi ialah ada beberapa sektor masih mengamalkan penggunaan dwibahasa, terutama ketika berkomunikasi.
"Antara lain sektor perundangan, kesihatan serta sains dan teknologi. Walaupun dasar perkhidmatan awam mengguna pakai bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan, penggunaan dwibahasa ini sekadar untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi saja.
"Namun, saya yakin dengan pelaksanaan program pemerkasaan bahasa Melayu oleh pihak DBP, amalan penggunaan dwibahasa akan semakin berkurangan," katanya.
Beliau berkata, fenomena globalisasi dan pendigitalan yang semakin pesat turut mengubah landskap penggunaan bahasa Melayu, berikutan generasi muda kini lebih selesa menggunakan bahasa asing sebagai medium perantaraan.
"Ini tidak terkecuali kepada penjawat awam, terutama dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, DBP disarankan untuk mencari satu kaedah intervensi atau mekanisme menyeluruh bagi menarik minat generasi muda terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai medium perantaraan harian," katanya.
Beliau turut menekankan isu keterbatasan penggunaan bahasa Melayu sebagai medium perantaraan dalam bidang sains dan teknologi, terutama dari segi terma.
"Justeru, saya mencadangkan agar DBP dan institut penterjemahan memainkan peranan dinamik dalam penterjemahan, khususnya dalam bidang sains dan teknologi seperti dilakukan di Jepun, Korea serta China.
"Organisasi penterjemahan sedia ada perlu segera bertindak proaktif terhadap bahan ilmuwan dalam bidang sains dan teknologi untuk digunakan sebagai sumber rujukan," katanya.