Pelan strategik bendung risiko muncul semula kluster pendidikan - Pensyarah

Imej hiasan

Pengumuman senarai baharu kelonggaran pengoperasian sekolah berkuat kuasa Ahad lalu, memberikan nafas baharu kepada sesi persekolahan dalam situasi endemik setelah mengharungi cabaran COVID-19. 

Ia pasti memberi impak kepada persediaan dalam pembelajaran murid di seluruh negara, tetapi apakah kita sudah bersedia dengan sebarang langkah pencegahan dan kawalan bagi mengharungi situasi endemik tetap mencabar ini? 

Dengan kelonggaran yang hampir menyaksikan sekolah kembali kepada keadaan sebelum pandemik itu, mengundang pelbagai persoalan termasuk sejauh manakah Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil langkah untuk memastikan penularan COVID-19 di sekolah berakhir? 

Guru tidak mengambil vaksin, kini boleh mengajar dalam kelas, manakala murid masih berdepan pelbagai kemungkinan untuk dijangkiti virus jika tidak kita tidak memandang serius.

Justeru, KPM perlu menyediakan pelan alternatif menghadapi sebarang penularan semula supaya kluster pendidikan tidak lagi berlaku mendadak selepas sambutan Aidilfitri. 

Pihak sekolah perlu membuat persediaan memastikan pembelajaran dapat dijalankan dengan baik. Semua warga sekolah perlu ditekankan mengguna pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, manakala sanitizer disediakan. 

Pada masa sama, pendekatan pembelajaran holistik masih perlu dilaksanakan dengan mengambil kira situasi semasa. Kaedah pengajaran pemusatan murid diperlukan bagi memastikan tahap penguasaan dapat dicapai. 

Pendekatan kaedah berkumpulan dilaksanakan jika perlu sahaja bagi mengelak penularan virus COVID-19 dalam situasi semasa fasa peralihan ke endemik ini. 

Justeru, pihak sekolah perlu menyediakan pelan alternatif dengan merancang susun atur langkah jika berlaku semula penularan COVID-19. Pelan kecemasan akan membantu, terutama murid dan guru dalam mengharungi situasi pengajaran dan pembelajaran (PdP). 

Di samping itu, pihak ibu bapa juga perlu jelas berkaitan pembelajaran dalam situasi peralihan ke endemik ini. Jika anak didapati mempunyai gejala, mereka tidak boleh dibenar ke sekolah dan dimaklumkan kepada pihak sekolah demi keselamatan bersama. 

Dari sudut guru pula, mereka perlu terbuka dengan memastikan pengajaran bercorak fleksibel. Pendekatan pengajaran perlu multitasking dengan pelbagai strategi pengajaran dalam kelas. 

Murid perlu didedahkan dengan bahan sokongan seperti digital dan pendekatan inkuiri penemuan dalam sesuatu pengajaran. 

Kepelbagaian pendekatan membantu murid menguasai kandungan topik, sekali gus dapat menerapkan pemikiran kreatif serta kritis kepada murid. 

Pengajaran guru kepada pemusatan murid membantu merealisasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pembelajaran abad ke-21. 

Guru harus peka dalam kepelbagaian pendekatan pengajaran dan menjadi agen perubahan kepada pendidikan masa depan. 

Pihak komuniti juga harus berperanan dalam membantu pembelajaran situasi ini. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu menyokong dengan program pendidikan dan pencegahan penularan COVID-19. 

Dari sudut KPM, pemantauan berkala perlu dilaksana dengan kerjasama pihak sekolah bagi memastikan perjalanan sesi persekolahan lancar dan baik. 

Kempen kesedaran dan poster langkah keselamatan perlu diperbanyakkan demi memberi peringatan seperti peribahasa 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.' 

Oleh itu, KPM perlu menyediakan pelan strategik bagi membendung sebarang risiko penularan COVID-19 jika berlaku secara mendadak mulai bulan ini termasuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) jika difikirkan perlu. 

Pemantapan pendekatan pengajaran secara digital perlu diterapkan kepada semua guru bagi permudah kandungan kurikulum disampaikan. Tambahan pula, murid juga mempunyai pengalaman mengharungi pembelajaran secara dalam talian selama dua tahun. 

Hakikatnya, kerjasama erat KPM, sekolah, ibu bapa dan komuniti penting bagi memastikan pembelajaran anak di sekolah dalam situasi peralihan ke endemik dapat diteruskan seperti dirancang, sekali gus memberi peluang pendidikan semula selepas penularan COVID-19 selama dua tahun. 

Persefahaman ini perlu diwujud di semua sekolah supaya sistem pendidikan dapat dilaksanakan dan masyarakat berilmu dapat dibangunkan demi mewujudkan modal insan Yang cemerlang. 

Generasi masa depan perlu disediakan bagi meneruskan kelangsungan pendidikan semakin mencabar. Hanya ilmu pengetahuan dan kemahiran bercorak kalis masa depan dapat menterjemah hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah baik. 

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

 

Previous Post Next Post