PBD tidak telus, PIBGN dakwa guru ada agenda peribadi


PETALING JAYA: Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang didakwa akan dijenamakan semula mengundang pelbagai reaksi.

Ada yang menyokong, namun tidak kurang pula yang membantah susulan Pentaksiran Biilik Darjah (PBD) sudah dibuat selepas kedua-dua peperiksaan itu dimansuh sebelum ini.

Bagaimanapun, penilaian berasaskan PBD pula dilihat tidak telus dalam menilai perkembangan pendidikan pelajar.

Ini kerana, kaedah itu boleh dimanipulasi, wujud pilih kasih dan 'agenda tersendiri' sehingga menyebabkan gred pelajar tidak selari dengan pencapaian sebenar mereka.

Presiden Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pihaknya tidak menolak adanya kemungkinan itu terutama agenda dalam meningkatkan pangkat dan gred sekolah yang bergantung kepada penilaian pelajarnya.

Ujarnya, perkara itu amat membimbangkan kerana ia boleh menganiaya pelajar.

"Kita selalu fikirkan soal kebocoran, salah guna kuasa dan salah kuasa pentadbiran, tetapi bagaimana pula dengan penilaian PBD?.

"Guru-guru inginkan kenaikan pangkat, kenaikan pangkat bergantung kepada keputusan sekolah. Jadi peningkatan gred (sekolah) bergantung kepada peperiksaan dan peperiksaan bergantung kepada PBD.

"Namun, semua ini berbalik kepada soal integriti, soal profesional, amanah dan telus (guru) dengan penilaian yang dilakukan kerana mereka juga bertanggungjawab tentang masa depan anakanak itu bagi menjamin usaha dan mutu sebenar mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, satu badan bebas dan profesional perlu diwujudkan agar dapat memantau penilaian yang dibuat para guru tanpa sebarang agenda peribadi.

"Mungkin banyak diperkatakan ialah pilih kasih, jadi kelemahan di situ berkemungkinan disebabkan tiadanya piawaan yang bebas dan berkecuali untuk menstandardkan penilaian atau pengredan tersebut," ujarnya.


Previous Post Next Post