Nasib 2,600 guru kontrak perkhidmatan bakal terbela - Radzi Jidin


KOTA BHARU: Nasib 2,600 guru kontrak perkhidmatan (COS) terbela selepas kontrak mereka bakal dilanjutkan mengikut keperluan selama dua tahun lagi. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara itu akan diumumkan selepas Kementerian Pendidikan membincangkannya dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). 

Radzi berkata, guru COS perlu diketengahkan ekoran mereka juga tenaga pengajar dan turut berkhidmat di sekolah-sekolah terpilih. 

“Melalui SPP, tatacara dan peraturan lantikan ditentukan pihak terbabit, dan kita akan pastikan kelancaran proses ke peringkat seterusnya. 

“Di Kementerian Pendidikan, kita sentiasa menjaga kebajikan guru-guru COS ini, walaupun mereka guru kontrak dan masih belum diserap dalam jawatan tetap, namun kebajikan golongan ini harus diambil kira,” katanya dalam sidang akhbar di Ketereh, di sini hari ini.
 
Imej hiasan

Terdahulu, Radzi mengadakan majlis rumah terbuka raikan Syawal bersama masyarakat dan pemimpin setempat di kediamannya. 

Dalam perkembangan sama, Radzi berkata, mengikut kontrak, kumpulan itu akan selesai kontrak perkhidmatan pada Jun ini, namun, ketika dalam proses menunggu keputusan selanjutnya, gaji mereka tetap akan dibayar. 

Sehubungan itu kata beliau, pihak tersebut diharap bertenang dan tidak perlu risau mengenai nasib mereka memandangkan hal tersebut sudah pun dalam perhatian Kementerian Pendidikan. – UTUSAN

 



Previous Post Next Post