Murid Tingkatan 5 hadapi dua tuduhan sebabkan kematian pemotong rumput

Remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini dengan dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan dua pemotong rumput maut dalam kemalangan di Jalan Semeling 7 Mei lalu.


SUNGAI PETANI: Seorang murid mengaku tidak bersalah, selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua pemotong rumput pada 7 Mei lalu.

Murid Tingkatan 5 itu mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dikemukakan kepadanya di hadapan Majistret, Noor Fazlina Musa.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai ini, sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan juga laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Tertuduh juga dibenarkan diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Terdahulu, murid terbabit yang lengkap berpakaian sekolah tiba di Kompleks Mahkamah Sungai Petani sambil ditemani ahli keluarga kira-kira jam 9 pagi.

Dia yang kelihatan tenang kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret 1, untuk menjalani prosiding yang dilakukan secara tertutup.

Berdasarkan pertuduhan pertama, murid itu didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pekerja pemotong rumput, Siouca Chakma, 21, pada 11.10 pagi di Jalan Pintasan Semeling, 7 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian seorang lagi pekerja pemotong rumput Akter Kamal Hosen, 33, pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Dia tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun serta maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahazlinda Zahari.

Bapa tertuduh kemudian membayar wang jaminan berjumlah RM4,000.

Dalam kejadian pada 7 Mei lalu, murid bawah umur memandu MPV milik bapanya sebelum merempuh dua pemotong rumput di Jalan Pintasan Semeling di sini.

Berikutan itu, mangsa pertama, Siouca Chakma meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala rakan sekerjanya Akter Kamal Hosen meninggal dunia dua hari lalu, ketika dirawat di hospital.

 

Previous Post Next Post