Murid terkilan tak dapat selamatkan rakan lemas

Jasad Muhammad Hadwan Iman yang ditemui lemas di kolam terbiar berhampiran pasar raya di Mergong.- Foto NSTPZuliaty Zulkiffli

ALOR SETAR: Rasa terkilan menyelubungi seorang murid apabila gagal menyelamatkan rakan baiknya, Muhammad Hadwan Iman Abdul Hadi, 17, yang lemas dala msebuah kolam terbiar di Mergong, di sini.

"Saya nampak sendiri depan mata rakan baik saya, Muhammad Hadwan Iman Abdul Hadi, 17, terkapai-kapai di tengah kolam terbiar itu sebelum dia hilang dari pandangan.

"Dalam suasana panik itu, beberapa rakan lain cuba terjun untuk menyelamatkan mangsa tapi mereka berpatah balik kerana kawasan itu semakin dalam," kata Muhammad Yazid Mohd Marwan, 15.

Dalam kejadian jam 6 petang semalam, Muhammad Yazid bersama lima rakannya termasuk Muhammad Hadwan Iman berada di kawasan kolam terbiar itu sebelum mandi di kolam terbiar itu yang terletak berhampiran sebuah pasar raya di Mergong, di sini sebelum mangsa tenggelam.

Bagaimanapun, jasad mangsa ditemui pada jam 10.49 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang melakukan pencarian menggunakan teknik gripping iron menyebabkan tali tersangkut pada seluar mangsa yang ketika itu berada di dasar kolam.

Menurut Muhammad Yazid, mereka berlima mandi di kawasan kolam terbiar itu namun hanya mangsa menaiki tong polisterin yang dijadikan pelampung kerana tidak tahu berenang.

"Muhammad Hadwan kelihatan seronok ketika itu kerana dapat naik tong polisterin itu sambil melihat kami mandi. Mulanya paras air cetek namun tidak lama selepas itu tong polisterin itu dimasuki air dan dia tenggelam ke dasar kolam yang dalam.

"Saya dan rakan lain terkilan kerana tidak dapat menyelamatkannya dan saya pulang ke rumah untuk memberitahu perkara itu kepada bapanya sebelum bergegas ke sini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Katanya, dia dan arwah berkawan baik sejak lapan tahun lalu malah tinggal di tempat sama iaitu di Flat Seri Gemilang, di sini walaupun berlainan sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika ditemui di lokasi pencarian berkata, kawasan kolam terbiar itu tidak berpagar dan dipercayai menjadi tempat orang memancing serta mandi walaupun terdapat papan tanda amaran dilarang mandi.

Beliau berkata, mangsa dipercayai menaiki tong polisterin itu yang dijadikan pelampung sebelum terjatuh ke dalam kolam dan lemas.

"Jasad mangsa yang ditemui jam 10.49 malam tadi oleh pasukan bomba dan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Hamizi Wan Mohd Zin berkata, jasad mangsa ditemui lima meter dari tebing kolam tadahan itu yang mempunyai kedalaman kira-kira empat meter.

Beliau berkata, mangsa ditemui hampir empat jam selepas operasi pencarian dilakukan bermula jam 6 petang sebaik pasukannya tiba di lokasi.

Suasana di lokasi kejadian bertambah pilu apabila bapa mangsa, Abdul Hadi Md Desa, 45, gagal menahan sebak sejurus jasad anak tunggalnya itu dibawa naik ke tebing kolam.

Mangsa dipercayai tinggal bersama bapanya di flat berkenaan selepas ibu bapanya berpisah.

 

Previous Post Next Post