'Murid lintas sungai guna tong dram tak patut berlaku'


VIDEO tular dua orang kanak-kanak yang berpakaian seragam sekolah melintasi sungai menggunakan tong dram yang ditarik menggunakan rel tidak sepatutnya berlaku. 

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri Sabah harus menangani isu mobiliti dan akses murid Sabah bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

“Hari ini ada beberapa video tular yang menggambarkan kedaifan keadaan pelajar dan penduduk di sebuah kawasan Sabah. 

“Anak murid terpaksa mendayung rakit sambil berpakaian seragam sekolah dan menggalas beg sekolah merentas sungai yang berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini tular video berdurasi seminit memaparkan dua orang kanak-kanak berpakaian sekolah kanak melintas sungai menggunakan tong dram yang ditarik menggunakan rel merintangi sebatang sungai. 

Menurut Syed Saddiq, pihaknya turut menerima laporan bahawa jambatan gantung di kawasan tersebut telah pun putus sejak dua bulan yang lalu. 

“Keselamatan dan nyawa anak-anak murid harus menjadi keutamaan dan hal sebegini teramat mendukacitakan semua rakyat Malaysia. 

“Tidak ada seorang pun murid di Malaysia yang harus berada dalam kesukaran untuk menuntut ilmu sebegini,” katanya. 

Beliau turut menggesa kerajaan negeri Sabah dan KPM untuk mengambil langkah segera dan tidak boleh bertangguh lagi. 

“Saya juga berharap Perdana Menteri Malaysia mengambil isu ini sebagai satu situasi kecemasan dan sebarang bentuk bantuan kecemasan harus diluluskan segera,” katanya.

 

Previous Post Next Post