Murid didenda guru masuk ICU

REMAJA tingkatan tiga sebuah sekolah swasta di Kulai, Johor dimasukkan ke ICU sebuah hospital akibat mengalami sesak nafas kerana didenda guru Pendidikan Jasmani.

KULAI – Seorang pelajar tingkatan tiga terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas akibat didenda guru Pendidikan Jasmani dalam kejadian di sebuah sekolah swasta di sini, Selasa lalu.

Pelajar berusia 15 tahun itu didenda untuk berlari 30 pusingan gelanggang bola tampar bersama rakan-rakan sekelasnya dengan memakai pelitup muka kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

Memetik akhbar berbahasa Mandarin, gadis itu mula mengalami keadaan jantung berdegup laju ketika menyelesaikan larian 15 pusingan sebelum menamatkan baki dengan hanya berjalan kaki.

Sejurus pulang ke rumah, pelajar terbabit mengadu mengalami kesukaran bernafas dan tidak selesa kepada ibu bapanya sebelum dirujuk ke hospital.

Pelajar perempuan itu kini difahamkan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di daerah ini.

Susulan kejadian itu, ibu kepada remaja berkenaan memuat naik kenyataan di laman facebook sehingga mendapat respon daripada netizen.

Sementara itu, pengetua sekolah swasta berkenaan tampil memohon maaf kepada keluarga pelajar tersebut selain mengakui kesilapan yang dilakukan guru lelaki Pendidikan Jasmani.

Pihak pengurusan sekolah turut meminta agar keluarga mangsa memberikan laporan kesihatan pelajar berkenaan agar keadaannya dapat dipantau ketika berada di sekolah.

Pihak sekolah turut membenarkan pelajar berkenaan menggunakan lif dan tidak perlu menggunakan tangga bagi mengelakkan kejadian sesak nafas yang dialami pelajar terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, bagaimana pun sehingga kini tiada laporan polis dibuat keluarga mangsa.-KOSMO! ONLINE

 

Previous Post Next Post